Jaafar bersama Haiza akan meraikan pengunjung di Hotel Dorsett Regency sepanjang bulan Ramadan ini. Foto: BRIAN MOH PELAKON Jaafar Onn tidak hirau sindiran sesetengah pihak yang memanggilnya “artis Ramadan” iaitu artis yang sekadar popular dengan aktiviti yang diadakan pada bulan mulia itu sahaja.Kata Jaafar, ia juga tidak pernah berkecil hati dengan kata-kata itu malah mengakui rezekinya lebih bertambah apabila mendapat tawaran menghiburkan pengunjung yang berbuka puasa di hotel-hotel tertentu. "Saya tidak kisah kalau orang panggil saya artis bulan Ramadan, memang rezeki saya bertambah setiap kali datangnya bulan mulia itu. Sejak lima tahun lalu tawaran menghiburkan tetamu berbuka puasa tidak putus-putus," jelasnya.Dalam pada itu, Jaafar akan muncul bersama penyanyi dangdut Haiza bagi menghiburkan pengunjung yang datang untuk berbuka puasa di Hotel Dorsett Regency Kuala Lumpur nanti.Seperti tahun sebelumnya terdapat beberapa segmen sementara menunggu waktu berbuka, salah satunya Jaafar akan menunjuk cara memasak hidangan tradisional secara langsung kepada pengunjung.Dengan tema mengimbau kenangan lama, dia turut namakannya acara itu sebagai Nostalgia Ramadan Bersama Jaafar Onn Jaafar akan berusaha untuk memenuhi selera pengunjung dengan masakan-masakan popular ala kampung yang secara tidak langsung dapat mengubat rasa rindu pengunjung kepada masakan ibu mereka.Menurut Jaafar, dia mahu pengunjung terhibur ketika berbuka puasa, bukan sahaja dengan menyaksikan persembahannya dan juga Haiza malah berkongsi resipi-resipi peribadinya dengan orang ramai."Saya akan memasak sejam sebelum waktu berbuka yang akan disaksikan pengunjung. Saya juga akan memberikan petua memasak."Saya tidak mahu kedekut ilmu dengan orang ramai, kalau resipi itu sedap saya akan mendapat pahala lebih. Jika kita kedekut ilmu masakan ini bukan boleh dibawa ke mana pun," katanya.Bercerita tentang selebriti Chef yang muncul satu persatu, Jaafar memberitahu dia tidak takut kepada persaingan, malah menganggapnya sebagai sesuatu yang sihat."Secara jujurnya saya rasa selebriti Chef ialah seorang yang aktif dalam dunia hiburan seperti berlakon, menyanyi atau mengacara dan dalam pada itu dia pakar dalam masakan barulah boleh digelar selebriti Chef."Saya tidak rasa terancam atau tergugat dengan munculnya selebriti-selebriti Chef yang baru kerana bagi saya rezeki kita ada jika kita kuat berusaha," katanya.Sementara itu untuk memeriahkan majlis berbuka puasa di hotel itu, selain daripada Haiza, Jaafar juga akan mengundang artis lain bagi memeriahkan lagi suasana berbuka puasa.Lebih meriah lagi, pengunjung bertuah akan menerima hadiah cabutan bertuah barangan Harmuni, Mazola, Beautex, Adabi, beras Jasmine, Health Builder dan periuk Premier.Manakala hotel juga menyediakan pelbagai juadah sampingan secara percuma seperti gado-gado, hati ayam goreng berempah, sambal, ulam, pisang dan cempedak goreng, serawa durian, daging masak arab, sambil tumis udang petai, pucuk paku lemak cili padi dan sotong tumis jintan.Turut tersedia hidangan pencuci mulut, sagu sejuk bersama kelapa, kuih nyonya, bubur cha-cha dan bubur pulut hitam. Kadar bayaran berbuka RM69++ seorang.Bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun dan warga emas berusia 50 tahun ke atas, mereka akan mendapat diskaun sebanyak 50 peratus.