suria

Ameng Spring Diperintah Bela Diri

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa terhadap tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan 29 Sept ini untuk penyanyi itu membela diri.

"Keputusan ini ditetapkan selepas menilai dan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan yang dikemukakan pihak pendakwaan, justeru tertuduh diperintah membela diri," katanya. Peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman yang mewakili Ameng memaklumkan dua orang saksi pembelaan akan dipanggil iaitu penyanyi itu dan isterinya Sabariah Zakaria.

Pada 12 Mei lalu, Ameng, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 3.45 petang, 2 April lepas.

Penyanyi itu diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Ameng, yang pernah popular dengan lagu "Bourgenvilla" dan "Sampai Hati", didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aril Beli Baju Raya Di Jakarta

Artikel Lain