Dian Sharlin lebih selesa dirinya tidak dikenali dalam industri hiburan ini. - Foto oleh ANDREW CHONGBIARPUN telah lama bertapak dalam bidang seni, Dian Sharlin atau senang disapa sebagai Sharlin lebih selesa dirinya tidak dikenali dalam industri hiburan. Dia yang memulakan kerjaya dalam bidang kormersial seawal umur 17 tahun sering mewakili Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa dalam dunia peragaan dan komersial.Gadis berusia awal 20-an ini juga pernah mengacarakan program BattleGround iaitu rancangan terbitan Astro berbentuk pertandingan tari-menari pada 2007 lalu dan sehingga kini masih aktif sebagai pengacara majlis dalam mengendalikan acara-acara besar terutamanya anjuran syarikat luar negara. Bukan itu saja, anak jati Kuala Lumpur ini juga mempunyai kepakaran dalam bidang tarian, malah dia menjadikan kumpulan tariannya itu sebagai satu perniagaan dan sumber rezeki.“Saya bermula dari bidang peragaan, saya pernah menjadi model untuk iklan Pantene di Filipina dan beberapa negara Asia lain. Namun dalam pada itu saya juga meminati bidang tarian dan sehingga sekarang saya mempunyai kumpulan tarian sendiri.“Kumpulan kami juga sering dipanggil untuk mengadakan persembahan-persembahan. Saya lakukannya semata-mata kerana minat yang mendalam terhadap tarian,” ujar gadis kacukan Serani-Australia ini.Bagaimanapun, dia masih aktif dalam bidang peragaan dan iklan televisyen komersial bukan sahaja di Malaysia tetapi di serata dunia.“Saya sayangkan bidang peragaan kerana ia jauh berbeza jika dibandingkan dengan hobi tarian saya. Saya sangat gembira melakukannya dan iklan yang paling saya sukai ialah iklan Yamaha yang dibuat bersama Valentino Rossi dan diterbitkan dua tahun lalu.“Antara rakan artis yang seangkatan dengan saya ketika itu ialah Natasha Hudson. Dia kini sudah dikenali setelah menceburkan diri dalam bidang lakonan dan nyanyian,” jelasnya.Menurut Sharlin, dia amat gembira dengan kehidupan yang dilalui sekarang dan tidak mahu mengikut jejak langkah rakan-rakannya untuk melibatkan diri dalam bidang seni hiburan.“Ramai rakan seperti Hana Tan dan Tania Hudson mengajak saya melibatkan diri dalam industri hiburan. Tapi banyak perkara yang perlu saya fikirkan jika ingin melangkah ke dunia glamor ini terutamanya untuk berhadapan dengan gosip serta persepsi masyarakat.“Saya lebih selesa menjadi orang biasa yang tidak dikenali. Bebas untuk berkawan, keluar dengan keluarga dan menjalani hidup yang mempunyai privasi. Memang saya suka kepada seni terutamanya seni tarian, peragaan dan pengacaraan tetapi biarlah ia secara bersederhana,” jelas Sharlin.