suria

Fauziah Nawi Gagal Arahkan "Zaiton Ceritaku" Dengan Baik - Produser

PETALING JAYA: Filem kisah hidup primadona Zaiton Sameon berjudul Zaiton -Ceritaku arahan Fauziah Nawi yang sudah siap penggambarannya tidak berkualiti dan gagal memenuhi kriteria sesebuah filem.

Pengarah Urusan Bruang Filem Sdn. Bhd. Burhanuddin Md Radzi, memberitahu dia kecewa dengan mutu pengarahan Fauziah Nawi (gambar) dan berhasrat melakukan penggambaran semula keseluruhan filem berkenaan.

“Saya sudah lihat filem itu selepas suntingan dan tidak berpuas hati langsung dengan hasilnya. Ia tidak ada kualiti sebuah filem sama ada dari segi mutu gambar, kesinambungan dan jalan cerita.,” ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Upin & Ipin, Sabtu lalu.

Menurutnya, filem itu tidak akan ditayangkan kepada umum malah besar kemungkinan terpaksa dilakukan penggambaran semula dengan kos produksi yang baru.

“Saya tidak akan ambil risiko untuk tayangkan juga filem yang tidak berkualiti ini. Filem tersebut saya hanya akan beri kepada mana-mana universiti untuk kajian mereka sahaja,” jelasnya.

Pemilik animasi Upin & Ipin ini juga mengakui kecewa dengan sikap pengarah dan pelakon-pelakon yang membarisi filem tersebut kerana tidak memberikan komitmen yang terbaik dalam penghasilan filem tersebut.

“Dia (Fauziah Nawi) enggan terima pendapat orang lain malah mahu semua tenaga produksi dan pelakon-pelakon di kalangan individu yang rapat dengan dia.

“Sayangnya apabila saya penuhi semua kehendak dia, hasil kerja yang diberikan pula menjadi sebaliknya. Jalan cerita langsung tak ikut skrip asal, malah sedikit pun tidak meninggalkan kesan pada penonton.

"Pelakon-pelakon yang dipilih juga seperti tidak dapat membawakan watak termasuklah Mislina yang memegang watak Zaiton Sameon,” katanya.

Jelas Burhanuddin lagi, dia bersedia berjumpa dengan pihak media untuk menunjukkan mutu filem berkenaan sebagai bukti terhadap apa yang diperkatakannya.

Burhanuddin juga menganggap percubaan dan pengalaman pertama bekerjasama dengan produksi profesional melalui syarikat filem barunya itu merupakan salah satu proses pembelajaran dalam menghasilkan sebuah filem.

“Saya tidak pernah kerja dengan orang-orang filem. Sebelum ini saya hanya menerbitkan filem animasi, biarpun ambil masa agak lama untuk menghasilkannya dan dengan pekerja yang tidak profesional tapi saya puas hati dengan hasilnya.

“Namun begitu saya tidak pernah menyesal dan bagi saya ini hanyalah pelaburan dan proses pembelajaran baru saya. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam memilih orang yang boleh buat kerja,” katanya

Artikel Berikut

Artikel Lain