MELIHAT raut wajah gadis berketurunan Melayu-Inggeris ini, ramai yang percaya bahawa watak yang dilakonkan sebagai penggoda adalah gambaran dirinya yang sebenar. Tapi hakikatnya diri wanita bernama Farahdhiya Mohd Amin (gambar) ini tidaklah seperti itu.Wanita berusia 26 tahun ini mengakui sudah muak dilabel sebagai perempuan jahat tetapi sesekali dia mahu diuji dengan watak-watak lain yang lebih melambangkan sudut sebenar dirinya. Keinginan itu mendatangkan hasil apabila Farah ditawarkan untuk melakonkan peranan sebagai wanita bertudung bernama Saadatul Saadiah dalam drama terbaru berjudul Chinta terbitan TV3.“Saya sudah biasa diberi watak-watak antagonis sehinggakan saya merasakan sudah terlalu pakar untuk melakonkan watak-watak begitu. Ya lah... bila kita sering buat kerja yang sama, sudah tentu perkara tersebut jadi mudah.“Namun bila pertama kali ditawarkan watak perempuan baik dan bertudung dalam drama Chinta ini saya betul-betul gembira. Pada mulanya saya fikir ia pasti mudah, tapi hakikatnya ia adalah cabaran kepada saya untuk menukar persepsi yang sudah lama tertanam di minda penonton,” katanya.Sering kali mendengar pujian dalam lakonannya sebagai wanita jahat, kali ini Farah ingin membuktikan kepada penonton bahawa dia juga mampu membawa peranan baik.Namun dia berdebar dan tidak sabar menanti reaksi penonton terhadap lakonannya yang dijangka akan keluar pada minggu hadapan.“Saya harap watak ini berjaya seimbangkan persepsi masyarakat pada saya. Saya mahu mereka kenali saya sebagai seorang yang boleh melakonkan pelbagai watak.Kepercayaan pengarah juga penting kerana ini kali pertama mereka berani beri watak baik kepada saya, jadi saya tidak mahu dianggap gagal,” ujarnya.Wanita konservatifTidak adil rasanya menilai wanita ini dari kaca televisyen semata-mata tetapi dari sudut luaran memang dia seorang yang moden.Hendak pula dia lahir dari darah kacukan. Tapi sebaliknya dalam jiwa ‘minah salih’ ini dia seorang yang agak konservatif.“Ramai yang anggap saya seorang yang moden, mudah bergaul atau bersosial. Tapi sebenarnya saya seorang yang agak konservatif dan sangat mementingkan budaya ketimuran. Saya bukan seorang yang sukan bersosial dan terlalu terdedah dengan kehidupan bandar.“Saya lebih suka duduk di rumah dan habiskan masa bersama keluarga jika tidak bekerja. Sebab itu saya suka memasak untuk keluarga jika tidak bekerja. Bagi saya sesebuah ikatan kekeluargaan akan lebih bahagia jika diikat dengan masakan sendiri,” ujarnya yang pandai memasak masakan Melayu berbanding masakan barat.Diusik dengan lelaki istimewa yang sedang bertakhta di hatinya, penyanyi lagu Bertakhta Di Hati ini memberitahu buat masa ini dia belum mempunyai teman istimewa.Malah dia menganggap ketika ini dia masih belum terdesak untuk mempunyai seorang lelaki. Dia mengakui setelah dikecewakan berkali-kali hatinya kini sudah terkunci.“Buat masa ini hati saya belum terbuka, tapi saya tidak pernah menolak jodoh. Bagi saya jika ada sesiapa yang boleh membuka hati saya saat ini saya bersedia untuk berkahwin. Sebagai perempuan saya memang impikan sebuah keluarga yang bahagia, ketika kecil lagi saya berangan-angan untuk berkahwin pada usia 20an.“Tapi sekarang baru saya sedar bukan mudah untuk mencari seorang lelaki yang benar-benar sesuai dengan saya. Bukan saya terlalu memilih tetapi saya mahukan seseorang lelaki yang mementingkan keluarga dan kalau boleh bukan mereka yang terlibat dalam industri hiburan,” katanya yang pernah digosipkan bercinta dengan beberapa artis lelaki tanah air.Masih jadi penyanyiKerjaya lakonannya yang semakin bersinar tidak menutup bakatnya sebagai penyanyi yang berjaya membawa namanya ke persada industri hiburan tanah air. Setelah beberapa kali dugaan menimpa dalam proses menerbitkan album, Farah tidak pernah sesekali berputus harap.Mendapat tawaran daripada komposer, Julfekar Ahmad Shah untuk menerbitkan album, Farah kini sudah merakamkan tiga buah lagu untuk album yang bakal dikeluarkan pada November ini.“Saya sayangkan bidang nyanyian, tapi banyak sahaja dugaan yang menimpa. Album kedua saya gagal disebabkan promosi dan syarikat rakaman yang sudah tutup, selepas itu saya cuba bersama syarikat rakaman Meastro tetapi nasib tidak menyebelahi saya.“Sudah enam tahun selepas album pertama Bertakhta Di Hati, saya dikatakan berhenti dari bidang ini. Sebenarnya saya masih aktif memenuhi undangan nyanyian untuk syarikat-syarikat korporat. Namun tawaran untuk keluarkan mini album daripada Julfekar memberi sinar baru bagi saya,” katanya yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Kau Telah Pergi.Tambah Farah, harapan terhadap album kali ini terlalu tinggi. Dia mahu dikenali semula sebagai seorang penyanyi seperti satu masa dahulu. Malah dia juga menjanjikan single terbarunya itu bakal meruntun jiwa pendengar seperti lagu Bertakhta Di Hati.