Ariz bakal muncul dengan single keduanya berjudul Terbaik Dari Ladang yang turut menampilkan Malique dan Liyana Jasmay. - Foto oleh KEVIN TANPETALING JAYA: Berpeluang berguru dengan penyanyi hip hop tersohor, Malique membuka banyak peluang kepada penyanyi Ariz, 25, untuk menonjolkan bakatnya dalam industri muzik tanah air.Selepas tampil dengan single pertama, Bukan Untukmu yang turut menampilkan penyanyi Kat (Mentor), Ariz atau nama sebenarnya Ikhwan Hariz Abdul Rani mengatur langkah untuk mempromosikan single keduanya berjudul Terbaik Dari Ladang (menampilkan Malique dan Liyana Jasmay) dalam masa terdekat ini. Saat ditanya mengapa Terbaik Dari Ladang? Sambil tersenyum dia yang mahu dikenali sebagai penyanyi hip hop/ rap itu menjawab tajuk tersebut boleh mencetuskan trademark kepada dirinya.“Sebenarnya, tajuk lagu ini terhasil atas perbincangan saya dan Malique. Apa-apa sahaja yang saya lakukan pastinya saya akan merujuk kepada Malique kerana dia sudah dianggap guru dan kawan yang sangat berbakat oleh saya.“Kebetulan, kami juga menggunakan ayat ‘terbaik dari ladang’ dalam lirik lagu tersebut. Jadi, Malique terus berkata apa salahnya menggunakan ia sebagai tajuk. Sekurang-kurangnya, jika ada orang yang hendak mengecam saya, mungkin mereka boleh ingat Ariz “Terbaik Dari Ladang”,” ujarnya kepada mStar Online.Sebelum rasmi bergelar artis rakaman Qarma Musiq Sdn Bhd pada pertengahan Jun tahun lalu, pemuda berasal dari Pulau Pinang ini pernah menyertai kumpulan Colabr8.Kini, kumpulan yang pernah menyertai pertandingan Gang Starz pada tahun 2007 itu telah dibubarkan kerana tiga anggota lain terikat dengan komitmen kerja masing-masing.Tinggal Ariz yang masih lagi memperjuangkan muzik hip hop yang diminatinya sejak menuntut di darjah tiga lagi sementara yang lain terlibat dengan bidang perniagaan dan sebagainya.Dia sendiri tidak menyangka berjaya memenangi hati Malique sekali gus menjadi anak murid kepada penyanyi yang pernah popular bersama kumpulan Too Phat itu.“Malique dan seorang lagi komposer iaitu D’Navigator bertindak selaku penerbit dan penggubah lagu, manakala saya hanya menyumbangkan lirik untuk lagu sendiri,” ujarnya penuh semangat.Walaupun Malique dijadikan sebagai rujukannya dalam bidang muzik, namun Ariz akan cuba menampilkan kelebihannya tersendiri.Jika dibandingkan vokalnya dengan suami pelakon Melissa Maureen itu, dia anggap jauh berbeza kerana Malique bersuara nyaring manakala suaranya lebih besar atau seperti bunyi bass.“Penulisan lirik Malique lebih serius dan berat manakala saya lebih menggunakan penulisan ringan, santai dan mudah difahami.“Jika dibandingkan dengan kreativiti, idea dan pengalaman, sudah tentu saya kalah banyak dengan dia kerana saya masih setahun jagung,” jelasnya.Ariz akan melancarkan album penuhnya pada awal tahun depan selepas album Malique berjudul TKO (Peace Out) dilancarkan pada Disember ini.