PETALING JAYA: Pelakon Hotel Mania, Adeline Tsen,24, mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon kacak Fahrin Ahmad, malah memberitahu dia tidak takut untuk mendekati jejaka yang pernah dihimpit pelbagai kontroversi cinta itu.Menurut Adeline, semenjak perkenalan mereka awal tahun lalu, dia mendapati dakwaan negatif yang dilemparkan kepada pelakon lelaki itu adalah tidak benar. "Kami memang sedang berkawan dan setakat ini tiada apa pun membuatkan saya berasa takut untuk terus mendekatinya. Bagi saya Fahrin seorang yang matang dan penuh dengan nasihat. Dia banyak memberi pandangan tentang lakonan dan dunia artis," ujar wanita berketurunan Cina-Kadazan ini.Sambil menyifatkan Fahrin seorang lelaki yang mengambil berat, Adeline tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan jejaka tersebut."Sebagai lelaki dia seorang yang sempurna, ambil berat dan suka bertanya khabar. Tidak mungkin saya menghindari dia kerana kontroversi-kontrovesi yang pernah dilalui sebelum ini."Kita tidak tahu perkara sebenar jadi tak elok jika menilai dia tanpa mengenalinya terlebih dahulu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.Dalam pada itu, Adeline yang sedang menjalani praktikal di sebuah syarikat perakaunan terpaksa mengurangkan kegiatan seninya."Selepas Hotel Mania, saya dapat beberapa tawaran berlakon drama dan filem tetapi terpaksa ditolak kerana menjalani latihan praktikal."Selama enam bulan ini saya memang tidak ambil sebarang tawaran berlakon. Perasaan memang sedih tapi terpaksa juga bersabar demi menghabiskan pegajian yang tinggal setahun sahaja lagi," ujar penuntut tahun akhir Jurusan Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini.Menurutnya, dia pernah terfikir untuk berhenti belajar dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang seni, namun hasrat tersebut dibantah oleh keluarga."Tahun lepas saya tangguh pengajian satu semester kerana ingin fokus pada lakonan. Tapi keluarga membantah dan ingin saya habiskan juga pengajian demi masa depan," ujarnya.