Azman AdnanKUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Haleeda dan bekas suaminya yang pernah bermain untuk pasukan bola sepak kebangsaan, Azman Adnan bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan nafkah anak mereka secara baik di luar mahkamah.Perkembangan terbaru itu dimaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini oleh peguam syarie Mahyuddin Md Zahari pada Rabu, yang pada asalnya dijadualkan untuk mendengar keterangan Haleeda. “Saya telah diberitahu oleh Haleeda bahawa dia ingin menyelesaikan kes secara baik dan mahu menarik semula permohonan di mahkamah.“Kami juga memohon supaya perintah asal supaya Azman membayar nafkah RM350 sebulan dikekalkan dan bayaran seperti biasa,” kata Mahyuddin yang turut meminta maaf atas kesulitan itu.Perkara tersebut disahkan oleh peguam yang mewakili Azman, Fakhrul Azman Abu Hassan.Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad meluluskan permohonan untuk menarik semula kes dan mengingatkan Azman untuk menjelaskan bayaran seperti perintah yang direkodkan sebelum ini.Azman, 39, yang hadir bersama anaknya dengan Haleeda, Amira Amani, 15, enggan memberi komen mengenai penyelesaian itu.Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin, 37, pula tidak menghadiri prosiding kerana difahamkan mengalami sedikit masalah.Azman, yang pernah bermain di posisi penyerang untuk pasukan Selangor berkahwin dengan Haleeda pada 27 Januari 1995 dan bercerai talak satu pada 9 Oktober 2003.Pada 12 Mac lalu, Haleeda yang popular dengan lagu Setia Kasih memfailkan permohonan untuk meminda nafkah anak berjumlah RM350 kepada RM500 sebulan.Dia juga pernah mengemukakan notis tunjuk sebab kepada Azman kerana didakwa gagal membayar nafkah itu secara konsisten bermula Januari 2009 hingga Mac lalu.Bagaimanapun, Azman yang pernah menyertai rancangan realiti Sehati Berdansa musim pertama telah menjelaskan tunggakan berjumlah RM3,150 pada 16 April lalu.Azman kini bergelar suami kepada penyanyi kumpulan Feminim, As atau nama sebenarnya Asfarina Muhamad, 35, sejak 14 Disember 2004 dan menjalankan perniagaan sendiri.