suria

Terima Jawatan Dalam Finas, David Teo Sindir Ahmad Puad

David Teo
David Teo
David Teo

PETALING JAYA: Produser filem David Teo menganggap Pengurus Besar Grand Brrilliance Sdn. Bhd, Ahmad Puad Onah sebagai individu yang kurang sopan dan sifatnya sama seperti ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.

Ia berikutan Ahmad Puad menerima pelantikan sebagai Ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tanpa mahu melepaskan jawatan yang disandangnya di GBSB sekarang.

“Dulu dia mempertikaikan saya dan Ahmad Idham yang masih aktif sebagai produser memegang jawatan Ahli Perbadanan tetapi sayangnya dia juga menerima jawatan itu.

“Sedangkan dia masih lagi bekerja dengan GBSB tanpa mahu melepaskan jawatannya seperti mana yang dia sarankan kepada kami dulu. Apa ni? Janganlah jadi orang yang kurang sopan,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

David Teo diminta mengulas pelantikan Ahmad Puad sebagai Timbalan Pengerusi perbadanan itu berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Selain Ahmad Puad, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim turut dilantik menganggotainya.

Pada 20 Julai lalu, Ahmad Puad bersama penggiat-penggiat filem telah mengadakan sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) bagi membantah pelantikan David Teo dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri menganggotai perbadanan tersebut dengan alasan ia merupakan satu diskriminasi terhadap dunia perfileman.

Pelantikan itu dikatakan akan menyebabkan berlakunya konflik kepentingan kerana kedua-dua mereka merupakan penerbit filem yang masih aktif melainkan mereka melepaskan jawatan di syarikat masing-masing.

Kata David, perbuatan Ahmad Puad amatlah tidak bermoral kerana cuba melakukan taktik tidak baik dengan berkempen untuk menjatuhkan orang lain sedangkan dia sebenarnya berhajat memegang jawatan dalam Finas.

Ujarnya, Ahmad Puad telah menggunakan tiketnya sebagai Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Presiden, Penerbit Filem Malaysia (PFM) untuk mendapatkan jawatan daripada menteri berkenaan.

“Dia gunakan kedudukannya dalam persatuan untuk mendapatkan jawatan itu sehingga memaksa pihak menteri melantiknya memegang peranan dalam Finas.

“Ia berbeza dengan saya, Ahmad Idham dan Ahmad Ibrahim yang dipilih sendiri oleh menteri,” katanya.

Jelas David lagi, jika selama ini dia mengetahui taktik Ahmad Puad yang begitu mahukan jawatan berkenaan, dia bersedia mengundur diri dan memberi laluan kepadanya.

Selama ini kata David dia menganggap Ahmad Puad benar-benar mahu memperjuangkan industri perfileman seperti mana yang disuarakan tetapi ia tidak seperti yang diperkatakan.

“Kalau dia mahu jawatan itu, beritahu saya elok-elok. Saya boleh undur diri. Tak ada masalah pun tapi cara dia mahu dapatkan jawatan agak kurang sopan. Cara itu memalukan dia juga.

“Orang yang nak pencen macam dia sepatutnya lebih sopan santun,” kata David menyindir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain