suria

Aidil Zafuan Tidak Tuntut Anak, Hanya Tangguh "Sulh"

Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zafuan mahu menjadi pasangan bahagia tetapi sayang sekali rumah tangga mereka sering diuji. Gambar Utusan Malaysia.
 Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zafuan mahu menjadi pasangan bahagia tetapi sayang  sekali rumah tangga mereka sering diuji. Gambar Utusan Malaysia.
Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zafuan mahu menjadi pasangan bahagia tetapi sayang sekali rumah tangga mereka sering diuji. Gambar Utusan Malaysia.

PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak,23, menafikan mahu menuntut hak penjagaan anak daripada isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar,34, sebaliknya kunjungan dia ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, Selasa, adalah untuk menangguhkan permohonan sulh (perbincangan) yang dibuat sebelum ini.

Aidil berkata, laporan sebuah akhbar tabloid, Rabu mengenai tuntutan itu dipetik daripada sumber yang salah kerana dia tidak mempunyai apa-apa masalah mengenai hak penjagaan anak, Airit Rayyan Rizqin yang sekarang berusia setahun tiga bulan.

“Saya mengaku bersama peguam saya ke Mahkamah Tingi Syariah di Seremban, semalam (Selasa) tetapi untuk menguruskan permohonan penangguhan sulh yang saya buat sebelum ini. Bukan untuk tuntut hak penjagaan anak seperti yang dilaporkan,” katanya, Rabu.

Aidil berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya dia menuntut hak penjagaan anak daripada Rita melalui proses mahkamah selepas segala kemelut yang berlaku menhenai rumah tangga mereka selama ini tidak dapat diselesaikan.

Sulh adalah proses perbincangan di antara dua pihak yang ingin mencari perdamaian melalui proses mahkamah.

Kata Aidil, penangguhan itu dibuat kerana masalah rumah tangga mereka semakin baik berbanding ketika permohonan dibuat semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Semasa Hari Raya Aidilfitri lepas saya ada buat permohonan ini (sulh) kerana tiada jalan lain untuk saya mendapat nasihat tetapi sekarang hubungan saya dengan Rita semakin baik.

“Disebabkan itulah saya perlu membuat penangguhan tersebut melalui peguam saya agar tidak menyusahkan pihak mahkamah nanti,” katanya.

Aidil yang sedang berlatih untuk mewakili Negeri Sembilan bagi menentang Kelantan dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia Sabtu ini mengakui sayangkan Rita apatah lagi selepas memikirkan isterinya itu mengandung tiga bulan, anak kedua mereka.

Ditanya kenapa dia tidak membatalkan penangguhan sulh itu, katanya jika ditakdirkan timbul masalah dalam rumah tangga mereka kelak, dia tidak perlu membuat permohonan tersebut semula.

Sementara itu Rita Rudaini pula berkata dia tidak membantah tindakan Aidil itu jika langkah tersebut dapat menyelesaikan masalah mengenai rumah tangga mereka.

Katanya selama ini jika mempunyai masalah sekalipun dia tidak pernah keluar dari rumah sebaliknya mendapatkan kebenaran suami terlebih dahulu untuk melakukan sesuatu tindakan.

“Saya sayangkan Aidil sepenuh hati dan tiada sedikit pun perasaan benci terhadapnya. Jika tindakan Aidil itu baik, saya turutkan kehendak dia,” ujarnya.

Tambah Rita, dugaan yang berlaku dalam rumah tangganya membuatkan dia semakin tabah apatah lagi selepas mengetahui dirinya kini berbadan dua.

Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain