suria

Rina (Gadis Melayu) Mahu Bantu Wanita Melalui Perniagaan

Rina menjuarai Gadis Melayu musim ketiga di Auditorium MBSA, Jumaat. - Foto oleh BRIAN MOH
Rina menjuarai Gadis Melayu musim ketiga di Auditorium MBSA, Jumaat. - Foto oleh BRIAN MOH
Rina menjuarai Gadis Melayu musim ketiga di Auditorium MBSA, Jumaat. - Foto oleh BRIAN MOH

SHAH ALAM: Juara Gadis Melayu musim ketiga (GM3), Norazrina Mohd Salleh (Rina), 25, berjanji akan membantu golongan wanita melalui bidang perniagaan yang diusahakan.

Rina berkata, sekarang ini dia sedang mengusahakan perniagaan pakaian bersama-sama keluarganya yang dibuat secara kecil-kecilan melalui dalam talian.

Gadis berasal dari Subang Jaya, Selangor ini akan menjadikan kemenangannya ini sebagai platform untuk merealisasikan cita-citanya untuk membantu keluarga dan wanita di luar sana dengan mendapatkan sokongan pihak badan bukan kerajaan (NGO).

“Alhamdulillah, saya mempunyai latar belakang perniagaan. Jadi, saya akan memberikan peluang kepada suri rumah dan remaja wanita untuk menyertai perniagaan dengan bantuan NGO.

“Dengan adanya peluang seperti ini, saya juga akan menggunakannya untuk membantu keluarga,” katanya semasa sidang media selepas malam kemuncak GM3 melabuhkan tirainya pada Jumaat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Melalui kemenangan itu juga, ia secara automatik memberikan gelaran selebriti kepada Rina. Dia yang mengakui masih solo itu tidak teragak-agak untuk menceburi bidang seni sekiranya mendapat tawaran pada suatu masa nanti.

“Bidang penyiaran masih baru buat saya. Banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari untuk fahami proses penyiaran dan sebagainya.

“Jika berpeluang menjadi pengacara, saya mahu menyebarkan kebaikan kepada masyarakat seperti Majalah 3. Saya juga tidak menolak jika ditawarkan peluang sebagai pembaca berita. Semuanya bergantung kepada pihak TV9 yang lebih layak menentukan,” kata graduan Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Rina akui minatnya kepada aktiviti kemasyarakatan telah lama ada dalam dirinya memandangkan dia lebih banyak terdedah dengan aktiviti seperti itu di universiti dahulu.

Selepas menamatkan pengajian, dia pernah bekerja sebagai juru ukur bahan. Kini, dia telah meninggalkan pekerjaan tersebut dan menumpukan kepada perniagaan keluarganya.

Antara hadiah yang dimenangi oleh Rina berupa wang tunai berjumlah RM30,000. Dia berkata hadiah tersebut akan dikongsikan dengan ahli keluarganya kerana akui datang dari keluarga yang susah. Selain itu, dia berhasrat untuk membawa ibu dan bapanya menunaikan umrah.

Pasti ramai yang ingin tahu rahsia kejayaan Rina memandangkan dia kelihatan tenang dan bersahaja ketika menjawab soalan daripada salah seorang juri iaitu angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Shukor Al-Masrie.

“Walaupun penonton nampak saya tenang tetapi sebenarnya saya menggeletar juga ketika di atas pentas. Pada saya, mungkin secara kebetulan soalan yang ditanya itu berkaitan dengan isu semasa dan saya ada membaca tentang persidangan Asean yang merancang untuk membantu masyarakat.

“Jadi, pembacaan juga sebenarnya banyak membantu saya untuk berjaya,” ujarnya yang turut terkejut dengan kemenangan itu.

Pada jangkaan Rina, Fatheen Nabila Ghazali (Fatheen), 24, yang layak mendapat tempat ketiga dalam pertandingan realiti di TV9 itu akan bergelar juara.

Artikel Sebelum

Shiqin Sedia Tempuhi Cabaran

Artikel Berikut

Artikel Lain