suria

Idham & David Teo Pula "Belasah" Ahmad Puad Onah

Ahmad Idham
Ahmad Idham
Ahmad Idham

PETALING JAYA: Pengarah Ahmad Idham menganggap pelantikan Pengurus Besar, Grand Briliance Sdn. Bhd. (GBSB), Ahmad Puad Onah menganggotai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai Timbalan Pengerusi agak kelakar kerana Ahmad Puad seperti melanggar prinsipnya sebelum ini.

Kata Idham, ketika menerima jawatan tersebut, dia berharap Ahmad Puad menolaknya memandangkan Ahmad Puad mempunyai pelbagai jawatan dalam industri perfileman tempatan seperti Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Presiden Penerbit Filem Malaysia (PFM).

“Selama ini beria-ia dia membuat sidang akhbar mengutuk saya dan David. Saya ada juga tunggu dia untuk melihat dia menolak jawatan tersebut.

"Nampaknya perkara itu tidak berlaku dan nampaklah Ahmad Puad telah melanggar prinsip.

“Cuma apa yang pelik, kami menerima surat daripada pihak Gafim mengenai pelantikan itu tanpa sokongan dan tandatangan presiden daripada 12 persatuan di bawah Gafim,” jelasnya.

Tambah Idham, berdasarkan profil Ahmad Puad, dia tidak pernah menjalankan sebarang projek membabitkan industri filem serta kurang profesional dalam bidang perfileman.

“Nak ikutkan bila dia menyandang jawatan presiden pun sudah menjadi satu tanda tanya yang besar. Dia bukanlah seorang penerbit filem. Dia hanya duduk di sebuah syarikat terbitan drama dan filem yang besar dan turut makan gaji bulan. Dari situ kita boleh melihat kepincangannya.

“Saya akan mengambil tindakan jika perlu. Ia bergantung kepada keadaan. Apa-apa pun, saya perlu memikirkan impak terhadap nama saya, industri sendiri sebelum membuat tindakan undang-undang. Sedihnya sehingga hari ini tiada siapa pun yang membetulkan keadaan atau mencuci calar di muka saya akibat tuduhan yang dikenakan,” tuturnya.

Sebelum ini, Ahmad Puad pernah mempersoalkan pelantikan produser filem David Teo dan pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai ahli perbadanan dengan alasan mereka adalah karyawan yang aktif dan mempunyai syarikat sendiri. Ia dikhuatiri berlakunya konflik kepentingan.

Ketika kecoh isu tersebut, Ahmad Puad pula menerima tawaran menganggotai Finas sedangkan dia juga masih memegang jawatan di GBSB.

Fikir Mahu Saman - David Teo

Menurut David Teo pula, dia sedang mengemas kini tuduhan-tuduhan yang pernah dibuat oleh Ahmad Puad sebelum memikirkan kewajaran tindakan undang-undang diambil ke atasnya.

“Ahmad Puad disifatkan sebagai budak-budak yang bercakap tanpa berfikir dan terlalu mementingkan diri sendiri.

“Secara peribadi, saya akan sama ada mahu ambil tindakan undang-undang atau tidak. Ia bergantung kepada keinginan saya serta berdasarkan nasihat peguam,” katanya.

Beritahu David, pelantikan Ahmad Puad sebagai Timbalan Pengerusi Finas hanya akan merosakkan industri perfileman tempatan, tambahan pula Ahmad Puad tidak mempunyai kelayakan atau kejayaan berkaitan perfileman dalam rekod perkhidmatannya.

“Pada pandangan saya, industri filem kita akan penuh dengan politik dan birokrasi apabila dia mengambil alih jawatan itu.

“Apatah lagi, dia tidak pernah menyumbang apa-apa ataupun berkarya dalam mana-mana filem. Dia sekadar menjadi seorang penerbit dari sebuah stesen televisyen swasta sahaja," katanya.

Tidak minta dilantik – Ahmad Puad Onah

Sementara itu, Ahmad Puad menegaskan, dia tidak meminta untuk dilantik sebagai Iimbalan Pengerusi Perbadanan itu sebaliknya ia diputuskan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

"Datuk Rais telah memutuskan sesiapa yang menjadi Presiden Gafim, hendaklah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Finas.

“Jika mahu bercakap tentang prinsip saya sebelum ini dan kedudukan sebagai presiden, ia tiada kena mengena dengan syarikat.

“Saya cuma persoalkan, ahli lembaga Finas perlu bebas daripada kepentingan peribadi dan isunya adalah kami mahu mendapat penjelasan daripada pihak kementerian, bukan persoalkan pelantikan mereka (David dan Idham).

“Dalam sidang akhbar sebelum ini memorandum yang dihantar kepada pihak kementerian tidak dijawab tapi selepas itu, pihak kementerian telah memanggil kami dan menjelaskan sebarang pelantikan dibuat atas kuasa pihak kementerian itu sendiri,” jelasnya.

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain