Ameng mendukung anaknya, Wan Ahmad Haizal, 3 sambil ditemani isterinya, Sabariah Zakaria. - Foto THE STAR Oleh MOHD SAHAR MISNI KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Spring, Ameng (gambar) atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 40, dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memasukkan dadah dalam badan pada April lalu. Ameng juga diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan selama 3 tahun. Ameng didakwa atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini, pukul 3.45 pagi, 2 April lalu. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan. Majistret Zaki Asyraf Zubir memutuskan demikian setelah pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap pertuduhan tersebut. Beliau turut menolak dakwaan Ameng bahawa kes dadah yang sedang dihadapinya merupakan konspirasi bekas isteri, Zaidah Awang atau A. Aida dan suaminya, Asisten Supritendan Suffian Sulaiman yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur kerana menyifatkannya sebagai tidak berasas. Sulaiman adalah Ketua Bahagian Perhubungan Awam di IPK tersebut.Zaki memberitahu, sekiranya Ameng gagal membayar denda tersebut, dia akan dikenakan hukuman empat bulan penjara. Penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Bougenvilla itu diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias. Bagaimanapun, Ameng dibenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dengan syarat vokalis tersebut perlu memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi hari ini. Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar meminta mahkamah menaikkan ikat jamin sebanyak RM2,000 lagi dengan penjamin yang sama. Sebelum ini, Ameng diikat jamin dengan RM3,500 oleh isterinya.