suria

Berlatih Di Tune Studios Serendah RM10

Roslan Aziz
Roslan Aziz
Roslan Aziz

PETALING JAYA: Jika baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Datuk Tony Fernandes mengumumkan berita gembira mengenai penurunan kadar tambang syarikat penerbangan tersebut, kini beliau sekali lagi membuat kejutan dengan menawarkan harga terendah untuk penggunaan studio rakaman terbaru Tune Studios kepada orang ramai yang meminati bidang nyanyian.

"Kini sesiapa saja boleh singgah di Tune Studios yang merupakan sebuah pusat muzik interaktif untuk menyanyi, bermain alat muzik atau untuk sebarang tujuan rakaman lagu.

"Selama ini, orang ramai selalu beranggapan penggunaan studio rakaman hanya terhad untuk penyanyi profesional saja tetapi pandangan itu tidak betul sebenarnya.

"Kita wujudkan studio ini untuk memberi peluang kepada sesiapa saja sama ada yang berpotensi untuk menjadi penyanyi dan pemuzik atau sekadar meminati muzik sebagai hobi," kata penerbit album terkenal Roslan Aziz yang juga rakan kongsi studio itu.

Studio yang memakan masa hampir setahun untuk disiapkan itu berada dalam fasa terakhir proses perhiasan dalamannya dan dijangka akan mula beroperasi pada hujung bulan ini.

Studio yang terletak di Harbour Place, Klang, Selangor itu berkeluasan 8,000 kaki persegi.

"Rata-rata studio rakaman yang sedia ada sering meletakkan kadar harga sewaan yang tinggi kepada pengguna. Menerusi studio ini, kita ingin membawa pengalaman studio profesional kepada orang ramai dengan harga yang rendah.

"Kumpulan muzik amatur boleh berlatih muzik dengan kadar harga serendah RM10 satu jam, di mana ia adalah separuh harga daripada kadar kebiasaan untuk studio muzik di luar sana.

"Penyanyi boleh merakamkan lagu demo mereka dengan hanya beberapa ratus ringgit saja.

"Mereka yang ingin menghasilkan lagu demo boleh menggunakan alat muzik dan jurutera bunyi seperti proses rakaman untuk penyanyi profesional kerana studio ini dilengkapi pasukan jurutera dan pengendali yang profesional," katanya yang turut mengetuai operasi studio itu.

Berdasarkan kualiti dan kelengkapan studio tersebut, Roslan bercadang untuk menjalankan proses rakaman lagu dengan penyanyi-penyanyi tanah air seperti Yuna dan Najwa kelak.

Jelas Roslan lagi, kompleks studio itu juga bakal dilengkapi sebuah kafe iaitu Tune Cafe pada tahun depan bagi mementaskan pelbagai acara hiburan dan pertunjukan nyanyian.

"Ia akan menjadi sebuah pusat hiburan yang besar kelak,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Angah Tegur Pelawak Murahan

Artikel Lain