suria

Badan Maiza Susut Setelah Hamil Hampir Tiga Bulan

PETALING JAYA: Berlainan berbanding sesetengah wanita, model Maizawati Zainal (gambar) akui badannya susut sedikit setelah hamil hampir tiga bulan.

Wanita yang mesra dengan panggilan Maiza, 35, ini berkata badannya susut kerana kurang selera makan sebaliknya banyak mengamalkan minum susu untuk ketahanan badan.

Paling mengejutkan, Maiza turut mengalami masalah pendarahan baru-baru ini tetapi setelah melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan perkara itu biasa berlaku kepada mana-mana wanita hamil pada peringkat permulaan.

“Mungkin kerana saya ni jenis suka bergerak aktif jadi sebab itu berlaku sedikit pendarahan. Tetapi alhamdulillah, doktor beritahu bayi dalam kandungan berada dalam keadaan sihat. Dia juga memberikan vitamin untuk menambah darah.

“Jadi, sekarang ini doktor nasihatkan saya tidak banyak bergerak dan mengurangkan aktiviti luar. Selepas kandungan sudah besar, mungkin saya boleh memulakan semula kerja. Suami banyak membantu menjaga saya dan anak-anak selain menguruskan perniagaan sendiri,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam masa yang sama, Maiza turut meuar-uarkan tentang perniagaan katering mini secara dalam talian yang tertumpu di sekitar Kuala Lumpur.

“Sekarang saya, suami dan kawan sedang membuat bisnes nasi ayam pandan, nasi jagung ayam pandan dan kuih bakar istimewa. Apabila ada tempahan, kami akan turun ke Kuala Lumpur.

“Biasanya, peniagaan ini menjadi tumpuan mereka yang membuat majlis rumah terbuka dan hari jadi,” ujarnya.

Maiza dan pasangannya, Mohd Yassin Ben@Abd. Rahim,23, bernikah pada 9 Ogos lalu di Ipoh, Perak.

Pemenang Anugerah Fotogenik dalam pertandingan Mrs Beauty Malaysia 2010 ini sedang hamil anaknya ketujuh selepas mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan terdahulu.

Dia mempunyai empat orang anak dengan bekas suaminya iaitu penceramah bebas, penyanyi dan pengacara Akhil Hayy. Pasangan itu bercerai pada pada 15 Julai tahun lalu.

Sementara dua anak lagi merupakan hasil perkahwinan dengan bekas suami pertamanya yang berasal dari Kelantan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain