suria

'Kau Dan Aku 2' Kurang Elemen Cinta

Aril, Anith, Hafiz dan Akim ketika menjayakan showcase Kau Dan Aku 2 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Sabtu. - Foto oleh ART CHEN
Aril, Anith, Hafiz dan Akim ketika menjayakan showcase Kau Dan Aku 2 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Sabtu. - Foto oleh ART CHEN
Aril, Anith, Hafiz dan Akim ketika menjayakan showcase Kau Dan Aku 2 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Sabtu. - Foto oleh ART CHEN

SHAH ALAM: Pelakon utama drama bersiri Kau Dan Aku musim kedua (KDA2) mengakui drama tersebut menonjolkan kelainan dengan mengurangkan elemen cinta berbanding musim terdahulu.

Aril, Akim, Hafiz dan Anith berkata perubahan yang dilakukan dalam drama menggabungkan lakonan, tarian dan nyanyian pada kali ini lebih menerapkan nilai persahabatan dan muzik.

Biarpun begitu, tidak bermakna jalan ceritanya menjadi bosan sebaliknya karakter setiap pelakon dan kejutan yang ditampilkan pada setiap episod dijangka bakal menjadi tarikan kepada penonton setia yang mengikuti KDA musim pertama.

Lebih-lebih lagi, drama 26 episod ini dibikin oleh tiga pengarah yang mempunyai idea yang berbeza. Seperti kata Aril, apabila kombinasi idea tiga pengarah itu bergabung, pastinya mencetuskan jalan cerita yang lebih menarik.

“Kalau KDA1, saya merupakan seorang yang ego tetapi kali ini perangai saya berubah menjadi seorang yang rendah diri. Ini kerana cerita ini menerapkan kerjasama dan sikap ambil berat antara rakan serta kehidupan pelajar kolej.

“Setiap episod akan menampilkan satu cerita. Oleh itu, apabila satu episod itu memaparkan cerita tentang diri saya, jadi saya perlu menggunakan kreativiti sendiri untuk kelihatan lebih menonjol berbanding pelakon lain,” kata Aril ketika sidang media selepas showcase drama tersebut di Hotel Quality, di sini, Sabtu.

Showcase di Plaza Alam Sentral, di sini, diadakan bertujuan untuk mempromosikan drama KDA2 yang akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) mulai 23 November ini, setiap Selasa, pukul 9 malam.

Sementara Akim berpendapat watak lakonannya lebih bebas berbanding dahulu. Selain itu, dia menganggap setiap episod KDA2 yang baru selesai penggambaran sebanyak 60 peratus itu memberikan pengajaran kepada penonton berbanding dahulu memfokuskan tentang konflik cinta.

“Dalam KDA1, saya menjadi tertekan dengan hubungan cinta bersama-sama Mila, kali ini kehidupan saya tertumpu kepada cita-cita dan masa depan.

“KDA2 juga memberikan banyak kesan dan pengajaran kepada hidup saya di luar. Misalnya, lagu terbaru saya berjudul Bawa Kau Pergi yang dinyanyikan dalam drama ini dan jalan ceritanya membuatkan saya lebih bersemangat dan yakin untuk mencapai cita-cita sebagai seorang komposer,” kata Akim yang turut bercita-cita untuk memiliki sebuah rumah dan menyenangkan ibu dan bapanya.

Dalam pada itu, Hafiz yang baru pertama kali menyertai KDA menceritakan tentang watak yang dilakonkan.

“Dalam cerita ini, saya melakonkan watak seorang pelajar yang baru pulang dari luar negara dan sudah melupakan budaya timur.

“Jadi, saya yang dipaksa oleh nenek (Khaty Fauziah) untuk mengubah diri menjadi seorang yang lebih bersikap kemelayuan,” ujarnya.

Seperti Akim, Hafiz akui turut meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya untuk lebih menjadi diri-sendiri.

Juara Akademi Fantasia musim ketujuh ini akui lagu terbaru berjudul Lebih Dewasa yang dinyanyikan dalam drama tersebut mengubah dirinya agar menjadi dewasa berbanding keanak-anakan.

Bagi Anith pula, dia akui menyampah dengan watak Elena lakonannya yang sentiasa bercita-cita besar dan bersemangat tinggi.

Kelebihannya yang memukau dan sikapnya yang mudah mesra menyebabkan dia disenangi ramai terutama tenaga pengajar.

Namun, situasi ini tidak disenangi oleh sebahagian pelajar yang menganggapnya sebagai ancaman apatah lagi dengan statusnya sebagai pelajar junior.

KDA2 turut menampilkan pelakon popular Tony Eusoff, Kathy Fauziah, Zulkifli Zain, Alif, Raja Farah, Farish, Amar, Mimi, Ika Nabila, Anita Baharom, Puteri Fateen, Riezman dan Sabrina Ali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain