suria

Akim ‘Gelojoh’ Ketika Bikin Lagu

Akim tampil dengan lagu terbaru iaitu Bawa Kau Pergi dan Janji selepas Inilah Cinta dan Bengang. - Foto oleh ART CHEN
Akim tampil dengan lagu terbaru iaitu Bawa Kau Pergi dan Janji selepas Inilah Cinta dan Bengang. - Foto oleh ART CHEN
Akim tampil dengan lagu terbaru iaitu Bawa Kau Pergi dan Janji selepas Inilah Cinta dan Bengang. - Foto oleh ART CHEN

SHAH ALAM: Peningkatan Akim dalam industri seni agak drastik apabila rezekinya dalam bidang nyanyian dan lakonan tidak pernah putus.

Selepas memenangi tempat ketiga Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), pemuda berusia 19 tahun ini kerap muncul dengan lagu terbarunya.

Selepas lagu Bengang, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad tampil dengan lagu Inilah Cinta hasil ciptaan sepenuhnya oleh diri-sendiri.

Kini, dia semakin galak muncul dengan lagu-lagu terbaru lain termasuklah Bawa Kau Pergi dan Janji.

Akim akui dia seorang yang ‘gelojoh’ apabila tiba saat berkarya. Lebih-lebih lagi bila dia sudah mendapat melodi sesebuah lagu itu.

“Saya akan terus cepat-cepat buat lirik selepas memikirkan melodi lagu kerana saya memang gelojoh dengan lagu.

“Kadangkala idea untuk membuat melodi datang sekali imbas apabila saya memegang gitar. Jadi, selepas itu saya tak tunggu lama-lama untuk menyiapkan sesebuah lagu itu,” ujarnya yang bercita-cita besar dalam bidang gubahan lagu ini.

Mendengar setiap ilham dan cetusan idea yang dirasai dalam setiap lagunya, Akim lebih terdedah dengan lirik-lirik berbaur cinta.

Sengaja menduga sama ada pemuda tinggi lampai ini sedang dilamun cinta, namun dia hanya membalas dengan senyuman yang manis.

“Saya memang dilamun cinta dan wanita itu adalah mak saya. Dia berada jauh daripada saya iaitu di Johor. Jadi, saya dedikasikan lagu-lagu tersebut untuk dia dan berjanji untuk membahagiakannya.

“Mak sentiasa berada dalam hati saya. Setakat ini, saya belum boleh terima untuk bercinta dengan wanita lain kerana tidak mahu ada apa-apa ikatan tetapi saya lebih suka berkawan,” kata Akim.

Menyentuh tentang perancangan masa hadapan, Akim mahu mengembangkan bakatnya dalam bidang gubahan lagu.

Kata Akim, dia tidak mahu menjadi seorang yang tamak dengan melakukan semua perkara tetapi lebih memfokuskan kepada karier sebagai seorang komposer dan penyanyi.

Memandangkan ramai pihak yang mula memerhatikan Akim, tidak dinafikan ada penyanyi yang mula meminta untuk menyanyikan lagu ciptaannya.

“Saya terpaksa tolak permintaan beberapa penyanyi yang minta untuk menyanyikan lagu saya kerana saya belum berani membuat lagu untuk mereka. Mungkin pada masa akan datang, saya akan cuba.

“Saya sentiasa belajar cara-cara membuat lirik lagu yang baik dengan mendapatkan tunjuk ajar penulis lirik lagu Bengang dan Noktah Cinta iaitu Sheikh Qalam,” ujar pelakon drama bersiri Kau Dan Aku 2 ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain