Yus (kiri) bersama ahli kumpulan May PETALING JAYA: Gitaris kumpulan May, Yus atau nama sebenarnya, Mohd Mokhtar Mohd Madin, 48, menolak dakwaan seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan penghidap penyakit Aids adalah anak kandungnya.Menurut Yus, dia terkejut apabila kanak-kanak berusia sembilan tahun yang kematian ibu dan adik akibat penyakit tersebut memberi kenyataan berkenaan. Lebih mendukacitakan apabila ibu saudara kepada kanak-kanak yatim piatu itu turut mengiakan dakwaan tersebut."Ingin saya jelaskan di sini kanak-kanak itu bukan anak saya dan ia merupakan satu kesilapan yang tidak dijangka."Sekarang saya berada di Teluk Intan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya telah berjumpa dengan ibu saudara kanak-kanak itu dan dia telah pun meminta maaf kepada saya," kata Yus ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.Pada Ahad lalu, kanak-kanak tersebut mendakwa bapanya iaitu Yus dan ibunya telah pun meninggal dunia akibat penyakit Aids dan dakwaan tersebut turut diakui oleh ibu saudaranya sendiri.Selain ibu dan bapa, adik kanak-kanak yang dikenali sebagai S itu turut meninggal dunia akibat penyakit yang sama.Kata Yus, dia terpaksa pergi ke Teluk Intan, Isnin, untuk bertemu keluarga kanak-kanak tersebut selepas kenyataan berkenaan menimbulkan macam-macam andaian buruk membabitkan hubungannya dengan isteri.Ujarnya, selepas pihak keluarga kanak-kanak itu termasuk ibu saudaranya memohon maaf, barulah hatinya menjadi lebih tenteram.Bagaimanapun, Yus tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua mereka dan menganggap arwah bapa kanak-kanak tersebut mungkin salah seorang peminat kumpulan May sehingga membuatkan kanak-kanak itu mengatakan bapanya adalah Yus."Tak mungkin saya akan mengambil tindakan terhadap mereka. Saya kasihan melihat nasib malang kanak-kanak itu."Bagaimanapun selepas artikel mengenai kanak-kanak itu dipaparkan di sebuah akhbar, saya tertekan kerana ia memberi kesan besar kepada saya dan keluarga."Malah saya dan isteri bercanggah pendapat mengenai hal ini selain menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap saya," ujarnya.