KUALA LUMPUR: Pelakon Rosyam Nor menepis dakwaan bahawa peserta daripada program realiti Pilih Kasih terbitan syarikatnya, Suhan Movies, tidak menyerlah dalam industri seni lakonan tempatan.Tegas Rosyam, kebanyakan peserta daripada program realiti itu yang antaranya seperti Ana Dahlia, Iqbal Mazlan, Nabila Dally dan Reza Hasbi mempunyai bakat yang tersendiri dan mereka mungkin akan menyerlah dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi. "Jangan samakan program realiti lakonan dan nyanyian. Menjadi seorang pelakon bukan seperti penyanyi, di mana dengan sebuah lagu single sahaja mereka mudah meraih populariti. Tambah pula dengan kehadiran pelbagai realiti program berbentuk nyanyian."Bagi saya, peserta-peserta Pilih Kasih tahun lalu masih laku dan mereka sibuk dengan tawaran lakonan masing-masing."Saya percaya, mereka akan popular dalam masa dua hingga tiga tahun ini kerana jangka masa itu adalah masa untuk mengasah bakat masing-masing."Saya gembira dengan bakat yang mereka miliki kerana mereka akan mewarnai industri lakonan kelak," katanya yang menerbitkan Pilih Kasih 2 dengan kerjasama pihak RTM.Pilih Kasih 2 akan bermula pada 29 November ini menerusi diari program, 'Kisah Pilih kasih' yang disiarkan pada pukul 4.30 petang di RTM2 dan diulang tayang di Muzik Aktif pada pukul 10.30 malam, pada hari yang sama.Tambah Rosyam, dia akan memberikan sedikit kelainan dalam program realiti keduanya itu dan sedang merancang untuk memberi peluang pemenang program tersebut berlakon menerusi drama muzikal khas terbitan syarikatnya bersama RTM."Tahun ini, kami dan pihak RTM telah bersetuju untuk menghasilkan 26 episod drama muzikal yang berjudul Inspirasi Kasih."Ia akan menampilkan pemenang-pemenang Pilih Kasih 2 serta pemenang tahun lepas. Selain itu, peserta yang memberi komitmen dalam program ini turut diberi peluang dalam drama ini nanti."Bagi saya, drama muzikal ini adalah satu batu loncatan buat mereka untuk dikenali umum," katanya.Bagaimanapun, Rosyam tidak akan mengambil peserta yang menang sebagai pelakon di bawah syarikatnya seperti yang dibuat oleh sesetangah pihak produksi."Saya tak akan ikat mereka di bawah Suhan Movies. Saya mahu mereka rasai erti susah dan senang sebagai pelakon."Dengan cara itu, mereka akan berfikiran matang dan lebih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam bidang ini," tegas Rosyam.