Memey dan Norman.PETALING JAYA: Tahun 2010 yang akan melabuhkan tirainya memberi kenangan yang terindah buat insan-insan seni apabila mereka melangkah ke alam bahagia dengan perkahwinan, pertunangan dan tidak kurang juga yang menerima cahaya mata. Tentunya kehadiran 2011 akan memberi sinar baru buat mereka agar apa yang diazamkan dalam hidup akan terlaksana. Kenangan indah sepanjang tahun ini bermula seperti berikut: PERTUNANGAN 1. MEMEY SUHAIZA & NORMAN HAKIM: Pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza telah mengikat tali pertunangan pada 13 September lalu di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor. Pasangan ini belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka dan menjangkakan bakal bernikah selewat-lewatnya pada awal tahun depan. 2. AYU RAUDHAH: Pelakon Ayu Raudhah, 25, selamat bertunang dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, dalam satu majlis merisik secara tertutup dan penuh rahsia yang diadakan di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya pada 17 Oktober lalu. Pasangan itu bukan sengaja merahsiakan tentang majlis tersebut sebaliknya menghormati keputusan keluarga Zaquan ekoran kontroversi yang baru sahaja terjadi melibatkan aktres Rita Rudaini dan suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, kembar Zaquan. Mereka dijadual bernikah pada 20 Januari 2011 di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setarm Kedah manakala majlis resepsi akan menyusul pada 21 Januari 2011 di lokasi yang sama. Sementara majlis resepsi sebelah pengantin lelaki dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan. 3. MIZZ NINA & NOH (HUJAN): Teka teki gosip pertunangan pasangan Mizz Nina atau Shazrina Azman,30, dan penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh,26, terjawab apabila mereka membuat pengumuman telah pun bertunang pada 6 November lalu. Majlis pertunangan tersebut diadakan di rumah keluarga Mizz Nina di Ampang Jaya, Kuala Lumpur yang dihadiri kira-kira 50 orang sanak-saudara termasuklah keluarga Noh dari Miri, Sarawak. Seperti Ayu Raudhah dan Zaquan, pasangan ini turut merahsiakan majlis pertunangan tersebut untuk menghormati permintaan keluarga yang inginkan majlis dilakukan secara privasi. Pasangan ini bakal dinikahkan pada 1 Julai 2011 sempena tarikh lahir Nina. Kemudian majlis resepsi bakal berlangsung pada 3 Julai 2011 untuk keluarga dan tetamu-tetamu kehormat di Hotel Shangri-La, pada 6 Julai 2011 untuk rakan-rakan dan para media di Hotel Doubletree, Kuala Lumpur dan resepsi ketiga di Sarawak pada 15 Julai 2011. 4. SITI SARAH & SHUIB (SEPAH): Sebelum ini, dia pernah putus tunang dengan jejaka berasal dari New Zealand, Mohd Harith Fuad Robinson. Kini penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 26, telah meninggalkan kisah silamnya. Yang penting dia sedang berbahagia dengan tunangnya, Shahmira Muhammad, 26, atau Shuib (Raja Lawak) selepas mereka melangsungkan pertunangan pada 16 November lalu di kediaman keluarga Sarah di Kuala Selangor. Bukan sengaja menyorok berita pertunangannya daripada pihak media sebaliknya penyanyi lagu Kesetiaan ini menerima kejutan daripada pihak Shuib. Pasangan ini belum menetapkan tarikh perkahwinan mereka kerana sibuk dengan karier seni masing-masing. PERKAHWINAN 1. SERINA REDZUAN: Pelakon Serina Redzwan,27, memulakan tahun baru 2010 dengan perkahwinan apabila dia dan Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar,33, disatukan dengan sekali lafaz sebagai suami isteri. Majlis pernikahan mereka diadakan di Majslid wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 1 januari 2010. Serina menerima wang hantaran sebanyak RM30,000 dan 11 dulang hantaran. Kedua-dua mereka telah menimang cahaya mata lelaki bernama Tristan Tareef pada 13 September lalu. 2. SHIDEE: Perkahwinan penyanyi popular era 80-an Shidee, 51, dan Siti Fairunnisa Aziz, 22, khabarnya tidak direstui oleh ibu mertuanya, Jamaliah Hassan. Lantaran itu, Jamaliah telah membuat tiga laporan polis sebelum pasangan berbeza usia 29 tahun itu dinikahkan pada 1 Februari lalu di pejabat Agama Islam Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu dengan berwalikan bapa saudara Siti Fairunnisa. Bagaimanapun, kisah kontroversi ‘cinta tiga segi’ Shidee membawa rezeki pada penyanyi ini bila dia ditawarkan menjadi duta produk. 3. DIDDY HIRDI: Penyanyi Syamsul Hirdi Muhid atau lebih dikenali sebagai Diddy, 25, selamat dinikahkan dengan pasangannya, Allen Nor Azah Musa di Masjid Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor Baru, pada 6 Februari lalu. Dengan dua kali lafaz, pasangan mempelai yang telah berkenalan sejak 10 tahun lalu dan mengikat tali pertunangan selama empat tahun kini sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM300 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM10,000. Pasangan ini dijangka bakal menerima kelahiran bayi perempuan pada 12 Januari 2011. 4. IMUDA: Episod kahwin diteruskan dengan pelakon Imuda, 50, yang mengakhiri zaman duda menikahi adik angkatnya Zabarina Haja Mushadi Ali, 28, pada 20 Februari lalu di sebuah masjid di Pulau Pinang.Kini, isterinya sedang hamil lebih lima bulan.Imuda pernah mendirikan rumah tangga pada 1994 dengan Rozalina Rosli dan bercerai sepuluh tahun kemudian. Pada 23 Disember 2008 bekas isterinya itu meninggal dunia akibat barah payu dara. 5. UMIE AIDA: PELAKON jelita, Umie Aida, 37, melangsungkan pernikahannya dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, pada 14 Mac lalu di Masjidil Haram, Mekah. Suami Umie merupakan seorang duda dan mempunyai dua orang anak manakala Umie mempunyai dua orang anak angkat. 5. ZIZAN NIN: GENAP tiga bulan mengikat tali pertunangan, pelakon Zizan Nin, 37, sah bergelar suami kepada personaliti ntv7, Fazilah Hani Harun (Hani), 30, pada 19 Mac lalu, di Masjid Negara. Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Perkawinan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim berwalikan bapa pengantin perempuan Datuk Harun Hashim dengan mas kahwin sebanyak RM651. 6. AIDA (GADIS MELAYU): Juara Gadis Melayu musim pertama, Khairul Noormaaidah Zali atau Aida, 25, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, pembaca berita Buletin Utama TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail, 28, dengan sekali lafaz di rumah keluarga pengantin perempuan di Bandar Country Homes, Rawang, pada 4 Jun lalu. Mohd Saiful dan Aida dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Zali Ismail, 59, dengan mas kahwin RM6,000. 7. AZIZ M. OSMAN: Dengan sekali lafaz, pengarah filem dan drama popular Aziz M. Osman, 48, kini sah bergelar suami kepada Puteri Lily Lokman, 21, pada 6 Jun lalu di Masjid Negara. Pernikahan Aziz dan Puteri Lily merupakan perkahwinan yang keempat selepas perkahwinannya terdahulu termasuk dengan aktres dan produser drama, Nur Aliah Lee. Sementara perkahwinannya dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, pada 16 Ogos 2008 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita berkenaan masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan dilakukan.Hasil perkahwinannya yang lalu, Aziz dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nurul Fatehah, 20, Puteri Nur Asyiqin, 15, Putera Mohd Aiman, 13, Puteri Nur Aisya, 9, Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Mohd. Ameen, 5. 8. WAFA ABDUL KADER: Pelakon dan penerbit Wafa Tan Sri Abdul Kader, 44, sah bergelar isteri kepada Tajul Faizal Tamimuddin, 44, pada 11 Jun lalu di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur. Bagi Wafa yang bergelar ibu tunggal selama 10 tahun, ini merupakan perkahwinan ketiganya dan dikurniakan empat orang anak lelaki sementara Tajul pula berkahwin buat kedua kalinya selepas bercerai setahun lalu dengan isteri pertamanya dan dikurniakan dua orang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Namun anak lelakinya itu meninggal dunia pada tahun 2005. 9. HARITH ISKANDER: Sekian lama membujang, kini pengarah, pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Harith Iskander Musa sah bergelar suami kepada doktor dan model sambilan, Jezamine Lim di Kota Damansara, pada 12 Jun lalu. Hanya dengan sekali lafaz, Harith Iskander, 44, dan gadis berdarah kacukan Cina dan India, Jezamine, 27, yang baru memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Shah Alam, Selangor, pada 12 Mei lalu berjaya disatukan walaupun tanpa kehadiran ramai ahli keluarga masing-masing. Dalam majlis serba ringkas itu, pihak lelaki memberikan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin Carat Club serta wang hantaran sebanyak RM50,000. 10. AIDA ARIS: Agak berlainan dengan aktres Aida Aris dengan Husfarid Shaikh Ali @ Shaikh Hussain apabila mereka memilih bulan puasa untuk melangsungkan perkahwinan. Dengan sekali lafaz, Aida, 38, sah bergelar isteri kepada Husfarid, 38, di kediaman pengantin perempuan pada pukul 10.45 pagi di Taman Sierra Ukay, Hulu Kelang pada 4 September lalu. Husfarid merupakan Ketua Pramugara MAS dan telah hidup menduda selama tiga tahun. Hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak. Bagi Aida yang menjanda selama lima tahun, ini merupakan perkahwinan keduanya dan tidak dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin dengan produser program, Bob Azrai. 11. JIMMY SHANLEY: Dengan tiga kali lafaz, pengacara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Jimmy Shanley Norjahan Saleh selamat diijabkabulkan dengan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy pada 1 Oktober lalu. Bagaimanapun, rumah tangga yang dibina pasangan ini semakin rapuh apabila kedua-dua mereka dikatakan sudah tidak tinggal serumah sejak beberapa minggu lalu. Menurut maklumat yang diterima mStar Online, pasangan tersebut mengambil pendekatan berkenaan apabila berlaku masalah dalam rumah tangga mereka. 12. SHEIKH MUSZAPHAR: Dengan sekali lafaz, Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Dr Halina Mohd Yunos pada 10 Oktober lalu. Majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya dilakukan sendiri oleh bapa Dr. Halina, Lt Kol (B) Mohd Yunos Mohd Ali, dengan disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali. Menariknya, 100 angkasawan dari 35 negara juga tidak ketinggalan untuk menghadiri majlis itu. 13. AQASHA: Penyanyi dan pelakon Firdee Aqasha Rosli, 28, sah bergelar suami kepada Noor Baizura Mohd Sabri, 27, dengan sekali lafaz. Majlis pernikahan berlangsung di Lake Fields, Sungai Besi,Kuala Lumpur. Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM80, wang hantaran RM20,000 dan seutas rantai emas putih. 14. DIA FADILA: Tarikh perkahwinan pada 10 Oktober lalu turut dikongsi oleh penyanyi Dia Fadila. Dengan sekali lafaz, Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 26, sah bergelar isteri kepada Redza Hj Abdullah Sanusi, 33, dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. 15. RAJA FARAH: Bagaikan suatu keajaiban yang besar dirasai oleh pasangan pengantin baru, Raja Farah Raja Aziz, 22, dan Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria, 25, setelah selesai diijabkabulkan. Pasangan ini dinikahkan pada 12 November 2010, Jumaat, di Tropika, di sini. Beberapa hari menjelang perkahwinan, pasangan ini dilanda gosip hamil anak luar nikah. Bagaimanapun, mereka menafikan dakwaan tersebut. 16. ELYANA: Pasangan pengantin baru, penyanyi Erneelya Elyana Emrizal, 23, dengan pasangannya Khiarul Anuar Husin, 35, terkejut dan berasa terharu apabila pernikahan dilakukan sendiri oleh bapa Elyana, Emrizal Shamsuddin. Mengikut perancangan awal, akad nikah itu sepatutnya dilakukan oleh Imam Masjid Al-Akram, Kg Datuk Keramat, namun dia terkejut apabila bapanya tampil mengambil tanggungjawab tersebut pada saat-saat akhir. Pasangan ini selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada 19 November lalu di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 17. ZAIBO: Agak mengejutkan industri seni apabila menerima khabar pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo, 54, menamatkan zaman bujangnya dengan Siti Hawa Shawal, 45, di Pejabat Agama Islam, Batu Pahat, pada 3 Disember lalu. Dengan dua kali lafaz, pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya itu bernikah dalam satu majlis tertutup yang ringkas di kampung pengantin perempuan dengan dihadiri oleh rakan dan saudara terdekat. Ini merupakan perkahwinan pertama buat Zaibo dan yang kedua bagi Hawa. Hasil perkahwinan pertama, Hawa dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 3 hingga 26 tahun. 18. MARION COUNTER: Pengacara popular Marion Counter berkahwin dengan pasangannya pewaris Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin di kediaman lelaki itu di Bukit Tunku pada 16 Disember lalu. Difahamkan, majlis pernikahan tersebut diadakan secara tertutup dengan kehadiran keluarga serta teman-teman rapat sahaja. 19. ADAM AHMAD: Penyanyi yang popular dengan lagu Kau Pergi Jua, Adam Ahmad, akhirnya menamatkan zaman bujangnya di usia 46 tahun dengan seorang janda, Norliza Ayat, 42 di kediaman penyanyi itu, pada 19 Disember lalu. Adam yang sah bergelar suami kepada Norliza itu dengan dua kali lafaz turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM300, wang hantaran sejumlah RM3100 serta 13 dulang dibalas 15. Ini merupakan perkahwinan pertama buat Adam dan kedua buat Norliza yang telahpun memiliki dua orang anak, Mohd Radhi, 25 dan Mohd Taqbir, 17. 20. BIENDA: Pernikahan penyanyi Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 25, menimbulkan tanda tanya apabila dia masih berahsia mengenai tarikh pernikahannya dengan produser program di Primeworks Studios, Kamarul Zariman Abd Rahman. Alasan Bienda, dia merahsiakan tarikh pernikahan dan lokasi majlis akad nikah kerana memenuhi permintaan keluarga memandangkan majlis itu dibuat secara tertutup. Bagaimanapun, Bienda tidak lokek berkongsi maklumat lain mengenai majlis pernikahannya di mana Kamarul atau dipaggil Boy sah bergelar suami kepada Bienda selepas dua kali lafaz dengan mas kahwin RM80. Bienda turut menerima wang hantaran sejumlah RM11,111.11 daripada pihak lelaki. 21. CAMELIA: Penyanyi dan hos popular program Casa Impian, Dayang Nur Camelia Abang Khalid atau lebih dikenali dengan nama Camelia khabarnya telah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan sekitar awal tahun lalu. Menurut sumber-sumber yang rapat dengan beliau, suami baru Camelia itu bukanlah Wira Tun Daim Zainuddin yang sebelum ini dikaitkan dengannya. Sumber itu tidak menafikan bahawa hubungan rapat antara Camelia dengan anak bekas menteri kewangan itu menjadi punca orang mengatakan penyanyi kelahiran Sarawak itu berkahwin dengannya. ANAK PENYERI HIDUP 1. CATRIONA ROSS: Catriona Ross menerima kelahiran bayi pertamanya pada 12 Mac 2010 selepas berkahwin dengan Shaharuddin Mokhtaruddin. Anak mereka diberi nama Sephia Rania Ross Eddin. 2. EDRY ABDUL HALIM: Komposer, pengarah dan penyanyi terkenal, Edry Abdul Halim menyambut kelahiran anak keempatnya, Elya pada 7 Jun lalu. Edry berkahwin dengan Milia Mohamad, 35, dan dikurniakan anak bernama Emil, 10, Edylia, 7, dan Emery, 3.3. SERINA REDZUAWAN: Pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan, 26, selamat melahirkan bayi lelaki di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada 13 September lalu.Serina dan suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar menamakan anak sulung mereka Tristan Tareef O'luanaigh yang bermaksud 'lain dari yang lain' dalam bahasa Arab. 4. ASHRAF SINCLAIR: Pelakon Ashraf Sinclair, 31, telah dikurniakan anak lelaki pada 22 September lalu. Dia dan isterinya, penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari,27, memberikan nama Noah kepada bayi sulung mereka itu. 5. AHMAD IDHAM: Pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzzri mendapat anak lelaki apabila isterinya Jameah Abdul Aziz selamat melahirkan bayi berkenaan di Hospital Gleanigles Intan, Ampang, Selangor pada 6 Oktober lalu. Pasangan ini turut mempunyai tiga anak lain iaitu Ahmad Firdaus, 9, Ahmad Aydeel, 5, dan Kintan Myra, 3. 6. ANNE NGASRI: Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, selamat melahirkan bayi perempuan pada 21 Oktober lalu di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur. Anne yang telah bercerai dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan pada 25 Jun lalu turut dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri, 1. 7. SHAMRIN (FOTOGRAF): Balu penyanyi Shamrin (Fotograf) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Akmal Shamrin pada 1 Disember lalu di Hospital Serdang. Hasil perkahwinan dengan Jazriatul Akma, mereka turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Akmal Danish,5 dan Akmal Shamim, 18 bulan. Semoga kebahagiaan mereka akan berkekalan buat selama-lamanya sementara bagi yang mendapat cahaya mata, jagalah amanah itu dengan sebaik mungkin. Esok, jangan lupa menatap mStar Online untuk mengikuti kisah yang mengguris hati sepanjang 2010 iaitu penceraian.