suria

Ahmad Idham : Watak Ustaz Halau Hantu Masih Relevan

PETALING JAYA: Watak ustaz dalam sesebuah filem atau drama yang dipaparkan sebagai penghalau hantu dan jin dianggap relevan sebagai individu yang mempunyai kehebatan mengakis kejahatan makhluk halus itu.

Pengarah filem Ahmad Idham (gambar) berkata, seseorang ustaz dilihat bukan hanya berkebolehan menyampaikan ceramah agama atau pendakwah sahaja sebaliknya boleh membantu merawat individu yang diganggu makhluk halus.

“Watak seseorang ustaz dalam filem yang diperlihatkan sebagai penghalau makhluk halus itu adalah bersesuaian dengan cerita yang dipaparkan.

“Kelebihan sebagai seorang ustaz bukan sahaja sebagai penceramah dan pendakwah sebaliknya sebagai pengamal agama yang boleh memberikan ayat pendinding diri daripada dirasuk. Jika saya menggelar golongan itu sebagai dukun atau bomoh, lagi tahyul.

“Setakat ini, ada atau tidak jampi serapah yang menunjuk kelemahan Tuhan? Sebagai pengarah, saya lihat ayat al-Quran lebih banyak ditonjolkan dalam filem atau drama seram,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Ahmad Idham mengulas kenyataan Pensyarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ustaz Mohd Azahari Yusuf dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Ahad lalu yang menegur elemen jampi serapah dalam sesebuah filem atau drama.

Kata Mohd Azahari, penulis skrip genre seram yang mahu mewujudkan watak ustaz perlulah peka dengan peranan besar yang dimainkan golongan itu dan bukannya menyempitkan peranan mereka hanya setakat menjadi penghalau hantu atau makhluk halus semata-mata.

Sebelum ini, Idham menghasilkan filem dan drama seram seperti Congkak, Jangan Tegur, Niyang Rapik dan terbaru Damping Malam.

Menurut Idham dia mengalu-alukan sekiranya pihak yang tidak berpuas hati dengan hasil filem atau drama seram supaya sama-sama turun padang dan berbincang tentang perkara tersebut.

Sementara itu, pengarah drama Azman Yahya (Jinggo) menganggap kewujudan watak ustaz sebagai penghalau hantu dan jin disebabkan trend masyarakat yang menyukai drama atau filem seperti itu.

Bagaimanapun, dia yang pernah menghasilkan drama seram menerusi syarikatnya, JS Pictures setakat ini belum pernah menampilkan watak ustaz sebagai penghalau hantu dan jin.

“Dalam drama Roh yang kami terbitkan, watak ustaz ditonjolkan sebagai orang yang mengajar tentang cara untuk berhadapan dengan syaitan di mana kita berada. Pada setiap penghujung cerita itu, ada diselitkan ayat suci al-Quran.

“Saya tak nafikan skop seorang ustaz amat besar untuk mengajar, memberi nasihat tentang Islam kepada masyarakat. Tetapi JS Pictures tidak pernah terlepas dari membuat cerita yang bermesej. Selain untuk berhibur, kami turut menyelitkan rujukan dalam Islam,” beritahunya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain