suria

Siti Mahu Himpun 10,000 Wajah SimplySiti

Siti memotong kek hari jadinya ke-32 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto RICKY LAI
Siti memotong kek hari jadinya ke-32 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto RICKY LAI
Siti memotong kek hari jadinya ke-32 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur, Isnin. - Foto RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, berhasrat untuk menghimpun seramai mungkin wajah pengguna-pengguna SimplySiti dan meraikan mereka pada majlis kemuncak ‘Malam Gala Simply 1’.

Malam gala tersebut diadakan sempena ulang tahun pertama SimplySiti yang akan diadakan pada April ini.

“Saya mahu seramai yang boleh seperti 10,000 pengguna yang akan menyertai kempen ‘Wajah-wajah SimplySiti’. Setiap wajah akan dipamerkan di showcase ‘Himpunan Wajah-wajah SimplySiti’ dan mungkin juga dipaparkan semasa promosi SimplySiti di media cetak dan kaca tv nanti.

“Ini semua adalah tanda terima kasih saya buat mereka yang sentiasa menyokong kami selama ini,” katanya, selaku Presiden SimplySiti Sdn Bhd ketika sidang media ketika majlis ulang tahun kelahiran ke-32 dan pelancaran kempen tersebut di Hotel JW Marriot, di sini, Isnin.

Tambah penyanyi lagu Ku Mahu dan Bukan Cinta Biasa ini: “Kami mengalu-alukan semua pengguna SimplySiti tidak kira wanita atau lelaki untuk menyertai kempen ini asalkan mereka membeli produk SimplySiti lebih dari RM80 ke atas.

“Dari situ juga, mungkin kita akan memilih antara mereka untuk menjadi jurucakap produk ini.”

Dalam majlis tersebut, Siti yang menggayakan pakaian rekaan Wanpa turut diraikan sempena ulang tahun kelahirannya ke-32 yang jatuh pada 11 Januari.

Menyebut tentang hadiah kelahiran, Siti akui mengidam sebuah komputer riba MacBook Pro.

“Setakat ini, suami belum membelikan hadiah kepada saya dan kalau boleh saya nak MacBook Pro,” kata Siti sambil tersenyum manis.

Siti yang sedang sibuk menyiapkan program bual bicara Siti dan terlibat dengan persembahan interlude Anugerah Juara Lagu ke-25 sejak dua minggu lalu akui langsung tidak memikirkan tentang sambutan hari lahirnya itu.

“Dulu saya tak pernah impikan majlis hari jadi sebesar ini tetapi apabila kerja dalam bidang ini, saya dapat merasa. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam majlis ini terutama suami dan pihak SimplySiti.

“Alhamdulillah, umur saya dilanjutkan dengan penuh bahagia. Saya berharap semua mendoakan kejayaan peribadi dan karier saya,” katanya ketika berucap dalam majlis yang diacarakan oleh pengacara Fara Fauzana dan Zizan (Raja Lawak).

Bercerita lanjut tentang karier perniagaannya dalam masa lima tahun akan datang, Siti merancang untuk mempelbagaikan produk SimplySiti seperti produk penjagaan badan dan rambut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain