suria

Wanita Bermasalah Boleh Jumpa Farah Asyikin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farah Asyikin (gambar) mengajak wanita yang gagal menyelesaikan masalah dalam kehidupan mereka supaya menyertai kem 'It's A Girl Thing!'.

Kem anjuran Farah yang dikendalikan secara percuma itu bertujuan untuk membolehkan golongan wanita tanpa mengira peringkat umur agar berani meluahkan masalah masing-masing dan sama-sama mencari jalan penyelesaian.

Farah sendiri yang akan menemu bual wanita yang bermasalah sebelum memilih 30 di antara mereka untuk menyertai kem tersebut.

"Saya mahu mencari wanita yang betul-betul bermasalah untuk menyertai kem ini. Saya mula teruja untuk melakukan aktiviti ini setelah ramai pengunjung blog saya meluah masalah masing-masing.

"Saya akan cuba menyelesaikan masalah terutamanya bagi mereka yang mempunyai persamaan dengan masalah saya," katanya.

Menurut penyanyi lagu 'Hello' ini, sesiapa yang berminat untuk menyertai kem berkenaan boleh melayari Facebook miliknya atau www.farahasyikin.com.

Walau bagaimanapun Farah berharap orang ramai tidak menganggap dia sebagai perunding motivasi tetapi cukuplah sebagai seorang kakak atau adik untuk meluahkan perasaan.

"Sekarang saya sedang menyiapkan kertas kerja untuk menganjurkan kem ini dan berharap ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan kerana saya buat kem ini secara percuma," katanya.

Bercerita tentang perancangan tersebut, kem itu akan diadakan selama empat hari, tiga malam dengan lokasinya adalah di sebuah tepian pantai yang masih belum ditetapkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

33 Selebriti Pakai Cheongsam

Artikel Lain