suria

Marion Caunter Selepas Jadi Isteri

DIA menjadi tumpuan ketika melangkah masuk ke lobi Hotel Impiana Kuala Lumpur. Malah setiap langkahnya diperhatikan orang di sekeliling termasuklah pelancong asing yang berada di situ.

Mungkin kerana personaliti dan keyakinannya membawa diri di khalayak, pemilik nama Marion Rose Caunter Abdullah seperti memiliki aura hebat sehingga menjadi perhatian.

Ternyata kerjayanya sebagai pengacara E! News Asia sejak tahun lalu banyak membantu menampakkan personaliti wanita berusia 30 tahun ini untuk lebih menyerlah. Apatah lagi apabila berpeluang mengendalikan program-program seperti The Biggest Loser Asia serta ESPN MyEG Xtra Time.

Rezeki Marion di luar negara semakin terbuka luas selepas mengendalikan program pertandingan realiti One In A Million bersama Awal Ashaari untuk tiga musim berturut-turut tidak lama dulu.

Bagaimanapun, wanita ini masih mencari peluang mengacara sehingga mampu mengendalikan sebuah program di Hollywood.

Dalam pada itu, Marion turut membantu suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia, SM Nasarudin SM Nasimuddin (Nasa) membina rangkaian label fesyen suaminya sendiri iaitu In Add Minus yang berpusat di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menariknya majlis pelancaran jenama fesyen berkenaan telah diadakan pada November lalu dan ia telah dihadiri ramai selebriti popular Hollywood seperti Ann Kendrick, Jessica Szohr dan Matthew Marrison (Glee).

Ia juga merupakan satu langkah baru untuk Marion mempelajari selok-belok bidang perniagaan fesyen bersama suaminya itu.

“Benar, saya sedang cuba mendapatkan peluang menjadi pengacara ke tahap yang lebih tinggi tetapi semua itu bergantung dengan keputusan suami sama ada dia membenarkannya ataupun tidak.

“Tambah pula Nasa baru memulakan perniagaan dalam bidang fesyen, saya perlu membantunya juga. Dalam pada itu saya turut mempromosikan baju tersebut dengan memakai pakaian In Add Minus untuk program-program yang saya acarakan.

“Saya rasa perniagaan ini satu perkara yang menyeronokkan. Kebetulan pula Nasa turut menggemari bidang ini. Mungkin jika saya tidak menjadi pengacara, fesyen adalah bidang yang akan saya terokai,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, dia gembira dengan pencapaian kerjaya yang dimilikinya dan ingin mendapatkan sebuah pencapaian di bidang pengacaraan.

Belajar masak untuk suami

Baru saja bergelar isteri pada 16 Disember tahun lalu, seri wajah pengantinnya masih lagi bersinar.

Namun, kata anak kelahiran Pulau Pinang ini, walaupun masih lagi berada dalam suasana pengantin baru, kesibukannya sebagai pengacara membuatkan dia dan suami jarang-jarang berjumpa berbanding pasangan pengantin baru yang lain.

Malah kehidupan sebagai suami isteri belum dirasai sepenuhnya oleh mereka. “Selepas berkahwin, tidak banyak perubahan pun berlaku kerana kesibukan kerjaya masing-masing. Ini pun saya baru balik dari Singapura kerana kesibukan rakaman E!News Asia dan suami pula baru pulang dari Paris, Perancis.

“Bayangkan kami sudah dua minggu tidak berjumpa. Ia kelihatan seperti kehidupan kami sebelum kahwin.

“Apa-apa pun saya sukakan fasa baru hidup berumah tangga kerana yang menariknya, selepas masing-masing sibuk bekerja seharian, bila pulang ke rumah, kita dapat berada di samping orang yang kita cintai.

“Memang buat masa ini saya sangat sibuk dan perlu fokus dengan E! News Asia. Saya harap tahun ini kesibukan saya dapat dikurangkan kerana ingin meluangkan sedikit masa di rumah bersama suami,” katanya.

Tambah Marion, kesibukan dia dan suami tidak menghalang mereka untuk menambahkan bilangan keluarga yang baru dibinanya.

“Rasanya kami sudah bersedia untuk menjadi ibu dan ayah. Insya-Allah mungkin dalam masa terdekat ini. Selain itu, saya juga ingin belajar masak untuk suami,” selorohnya.

Tidak keberatan untuk berkongsi cerita mengenai perubahan dirinya selepas memeluk agama Islam pada Oktober tahun lalu, Marion berkata Nasa banyak mengajarnya mendalami Islam sedikit demi sedikit.

Namun, sebagai seorang saudara baru ataupun mualaf , dia gembira kerana dapat merasakan kehidupan yang lebih baik selepas memeluk Islam.

“Alhamdulillah, saya sedang mendalami Islam sedikit demi sedikit dan Nasa yang memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Bagaimanapun, dia tidaklah memaksa saya memakai tudung atau apa-apa pun dan katanya, dia akan mencintai saya walau apa jua keadaan,” tuturnya.

Berbulan madu pada Tahun Baru Cina

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, Marion akan melalui Tahun Baru Cina dengan cara yang berbeza pula kali ini.

Pengacara itu mengambil kesempatan cuti Tahun Baru Cina pada 3 Februari depan untuk pergi berbulan madu di beberapa lokasi yang masih lagi belum diketahui.

“Mungkin sambutan Tahun Baru Cina saya agak berbeza. Kebetulan pula saya dapat cuti daripada pihak E! News, Nasa dan saya bersepakat untuk berbulan madu sebelum kembali sibuk dengan kerja.

“Jadi saya tidak dapat menyertai saudara mara meraikan sambutan itu. Cuma sebelum bergerak ke destinasi percutian kami akan mengadakan makan malam bersama keluarga,” ujarnya.

Mengimbas kenangan sambutan Tahun Baru Cina pada zaman muda, Marion gembira kerana zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan kegembiraan bersama rakan-rakan seusianya setiap kali sambutan tahun baru itu berlangsung.

“Sambutan tahun Baru Cina adalah masanya untuk kami sekeluarga berkumpul bersama saudara mara yang lain di rumah emak, di Sungai Siput, Perak.

“Tapi rasanya, tidak kira apa jua perayaan, baik sambutan Krismas, Hari Raya atau sambutan perayaan lain, inilah masanya untuk kami berkumpul seisi keluarga. Saya sangat gembira bila meluangkan masa bersama mereka,” katanya.

Foto BRIAN MOH Pakaian: In Add Minus Solekan: Sheng Saw Lokasi: Terima kasih kepada Hotel Impiana Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain