suria

Anak-Anak Belum Tahu Raja Azura, Suami Bercerai

Raja Azura
Raja Azura
Raja Azura

KUALA LUMPUR: Walaupun disahkan bercerai pada 28 September tahun lalu, penyampai radio Sinar FM, Raja Azura, 38, dan bekas suaminya Adzmin Osman, 37, masih lagi merahsiakan penceraian itu daripada pengetahuan anak-anak mereka.

Menurut Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku, sehingga kini, dia dan Adzmin berlakon sebagai sepasang suami isteri yang normal di depan ketiga-tiga anak mereka iaitu Megat Muhammad Raziq, 9, Megat Luqman Hakim, 8 dan Puteri Mkia Maizurah, 5, kerana enggan melukai hati mereka.

"Saya tak mahu anak-anak tahu tentang perkara ini dan kerana kesilapan saya dan Adzmin, anak-anak pula yang jadi mangsa.

"Kami dah berjanji untuk berlakon di depan anak-anak seperti tidak ada apa yang berlaku. Malah kami memastikan untuk keluar berjalan-jalan di hujung minggu sekeluarga seperi biasa.

"Oleh itu saya akan memastikan tiada sebarang surat khabar yang ada di dalam rumah. Setakat ini anak-anak saya cuma tahu yang bapanya sibuk bekerja di Alor Setar, Kedah dan akan datang berkunjung ke rumah setiap hujung minggu.

"Bila Adzmin ada kelapangan, dia akan datang ke rumah saya dan tidurkan anak-anak seperti biasa," katanya yang ditemui pada majlis sambutan Anugerah Bintang Popular bersama calon-calon bagi kategori Artis Komedi Lelaki dan Wanita Popular di Hotel Le Meridien, di sini, Selasa.

Bagaimanapun tambah Kak Engku, dia masih berharap untuk kembali ke pangkuan bekas suaminya itu jika ditakdirkan bersama semula.

Pada masa yang sama, pengacara tersebut tidak perlu melukai hati anak-anak mereka untuk menjelaskan status sebenar hubungan kak Engku dan Adzmin.

"Saya masih simpan harapan untuk kembali kepadanya (Adzmin). Ini kerana anak-anak yang saya lahirkan itu merupakan anak dia juga.

"Andai kata dia ingin berpatah balik kepada saya, sekurang-kurangnya anak-anak tak perlu tahu pergolakan yang melanda terhadap kami.

"Mungkin perpisahan ini adalah masa untuk saya dan Adzmin berfikir dan membetulkan kesilapan masing-masing. Sekarang ini kami memberi ruang untuk muhasabah diri. Lagipun saya masih sayangkan dia," tutur Kak Engku sambil menitiskan air matanya.

Penyampai radio itu berkahwin dengan Adzmin iaitu anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof pada bulan Mac 2001.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eva Longoria Temui Cinta Baru

Artikel Lain