suria

Gelagat Artis Jika Tidak Bergelar Artis

Jehan Miskin
Jehan Miskin
Jehan Miskin

KUALA LUMPUR: Apa akan jadi jika artis tidak bergelar artis sebaliknya melakukan pekerjaan lain yang mungkin tidak pernah difikirkan mereka?

Bagaimanapun, program komedi realiti berjudul Kalau Aku Bukan Artis akan menonjolkan sikap terbuka 26 artis popular yang diberikan pekerjaan mencabar bermula 22 Februari ini, setiap Selasa pukul 9.30 malam di Astro Warna (saluran 132).

Mereka adalah Sharifah Shahora sebagai penternak ayam, Liza Abdullah (buruh binaan), Zizan Nin (penebar roti canai), Jehan Miskin (pekerja dobi),

Selain itu Tony Eusoff sebagai budak props, Erra Fazira (penjual rojak pasar malam), Nor Khiriah (penjaga butik wanita), Yana Shamsudin (juru solek), Sharifah Shahira (pencuci kereta) manakala Tomok menjadi pengawal keselamatan kompleks beli-belah.

Turut terlibat dalam program yang sama adalah Amyza Aznan (pemandu teksi), Black (penjual ubat kuat), Didie Alias (mekanik motor), Lisdawati (penjual ikan), Fauzi Nawawi (pendandan rambut), Zarina AF (guru tadika) dan Sharnaaz Ahmad sebagai juruteknik barangan elektrik)

Tidak ketinggalan dijemput memeriahkan rancangan tersebut ialah Marsha (penjual asam), Irma Hasmie (tukang masak), Keifli AF (penjual burger), Shahz Jaszle (penjual baju terpakai), Zed Zaidi (penjual sate), Anding AF (penjual steambot), Sheera Iskandar (tukang jahit) dan Syed Ali (penjual nasi kukus).

Menurut pengarah program tersebut, Amor Yusrizan, Kalau Aku Bukan Artis bakal membuat para penonton ketawa melihat pelbagai gelagat artis menjalankan tugasan mereka secara spontan.

“Program ini menampilkan 13 episod di mana setiap episod akan memaparkan dua artis melakukan tugasan masing-masing.

“Semasa membuat pekerjaan tersebut, mereka perlu berhadapan dengan beberapa masalah yang pernah dihadapi oleh orang biasa untuk mencipta klimaks program ini.

“Bagaimanapun, masalah tersebut di kendali secara realistik apabila memaparkan pelbagai suasana yang dicetuskan semasa mereka menguruskan masalah itu,” katanya.

Tambahnya: “Saya rasa bangga dengan artis yang bersikap terbuka walaupun ada kalangan mereka yang mengaku tidak boleh melakukan tugasan tersebut.”

Amor pernah mengarah drama Ibu Mee Segera, Gila-Gila dan menulis skrip telefilem Ungunya Cinta.

Selain itu, dia juga terlibat dalam penerbitan program Kalau Berani 1 Lawan 0 yang bakal memasuki musim kedua pada Mac ini di Astro Warna.

Artikel Sebelum

Nidji Ajak Peminat Cintai Agama

Artikel Berikut

Artikel Lain