suria

Zarina sentiasa berwaspada

MULA mengharungi kerjaya selepas tamatnya program realiti televisyen popular Akademi Fantasia 2, kira-kira lapan tahun lalu, pelakon Zarina Zainoordin, 27, mengakui banyak rintangan dan dugaan yang telah dihadapinya.

Anak kelahiran Johor Baru ini juga tidak lepas dari terpalit dengan kancah kontroversi dunia hiburan. Dia pernah dikatakan menampung hidup hasil tajaan pihak tertentu. Namun, wanita ini sekerasnya menafikan tuduhan tersebut.

Biarpun ramai yang menganggap dirinya bagaikan tenggelam timbul dalam lapangan dunia seni ini, Zarina memberitahu dia masih aktif dalam mencari rezeki halal dengan titik peluh sendiri.

“Lapan tahun dalam industri ini banyak cabaran yang saya lalu, terutamanya berhadapan dengan gosip ditaja oleh seseorang.

“Walaupun dah lama diperkatakan, kesannya sehingga kini masih lagi yang mempercayai tentang perkara itu. Namun mereka sebenarnya tidak tahu betapa susahnya saya mencari rezeki siang dan malam,” katanya.

Menurut Zarina, keinginannya memakai barang-barang berjenama mewah sebagai tanda penghargaan kepada diri sendiri sering disalah tafsirkan segelintir pihak.

“Bagi saya itu adalah satu penghargaan kepada diri sendiri setelah penat bekerja. Saya mahu hasil usaha saya nampak depan mata.

“Dulu memang saya agak marah apabila dikatakan tentang perkara itu, tapi sekarang saya dah lali dan anggap cercaan tersebut sebagai salah satu tempias apabila bergelar artis.

“Kalau saya ditaja saya tidak perlu bersusah payah untuk bekerja siang dan malam sehinggakan pernah satu ketika saya hanya makan mee segera semata-mata ingin bayar segala hutang piutang,” katanya.

Jelas Zarina, kerjaya sebagai seorang artis memerlukannya untuk sentiasa berwaspada dalam segala hal. Dia percaya disiplin dan rendah diri merupakan faktor utama untuk terus kekal dalam industri ini.

“Saya sedar semakin hari semakin ramai muka baru keluar mewarnai dunia hiburan kita. Untuk jadikan lakonan atau nyanyian punca pendapatan utama saya sentiasa berpegang pada prinsip rendah diri dan disiplin yang tinggi.

“Saya suka cara Liza Abdullah jaga reputasinya sebagai pelakon. Sebab itu juga dia masih ada lagi dalam industri ini biarpun sudah berbelas tahun usia lakonannya,” kata Zarina yang tidak setuju sikap segelintir artis yang mudah lupa diri apabila berada di puncak kejayaan.

Zarina kini sibuk dengan penggambaran telefilem Ayu Suraya untuk saluran Astro dan bakal keluar dengan filem terbarunya Aku Bukan Tomboi arahan Syamsul Yusof yang dijangka keluar pada pertengahan tahun ini. Tidak lupakan bidang nyanyian

Biarpun lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding matlamat awal sebagai penyanyi, wanita ini mengakui masih aktif dengan persembahan nyanyian.

“Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti menyanyi, cuma rezeki saya kini lebih kepada bidang lakonan.

“Tapi sebenarnya saya masih aktif biarpun tidak di hadapan televisyen tetapi saya banyak memenuhi undangan nyanyian untuk majlis-majlis tertutup.

“Kini saya sibuk dengan Konsert Karnival Belia Sarawak iaitu konsert jelajah di beberapa daerah di Sarawak,” katanya. Selain itu, dia kini dalam rangka promosi single terbaru berjudul Jentayu yang merupakan lagu tema kepada drama siri Jentayu di TV3.

Cintai Ungku Ismail

Tidak mahu cerita cinta mendahului kerjaya, Zarina hanya berharap hubungan yang dibina sejak beberapa bulan lalu akan berkekalan sehingga sebuah ikatan yang sah.

Perkenalannya dengan pelakon baru, Ungku Ismail Ungku Abd Aziz di lokasi penggambaran Syurgamu Ramadan menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka.

Namun pengalaman cinta lalu telah mengajar Zarina agar tidak terlalu memberi harapan, kepada sesebuah hubungan.

“Kami menjalani sebuah hubungan yang mudah, masing-masing beri masa untuk diri sendiri. Jika ada masa terluang barulah kami berjumpa.

“Kalau boleh saya tidak mahu hubungan cinta yang terlalu ketara takut apabila putus nanti, akan ada pula macam-macam cerita buruk. Tentang jodoh kami hanya berserah kepada Allah SWT,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain