suria

Skim Pencen Karyawan Akan Disambung Tahun Ini

Freddie Fernandez
Freddie Fernandez
Freddie Fernandez

PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan membayar semula Skim Pencen kepada 22 artis veteran tahun ini sekiranya persatuan itu mendapatkan semula projek bagi menampung pembiayaan berkenaan.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, buat masa ini, Karyawan tidak mempunyai dana bagi membayar sebanyak RM500 kepada artis-artis veteran yang mendapat bayaran berkenaan.

"Sebelum ini, setiap bulan kami akan melaburkan sebanyak RM11,000 di mana setiap seorang artis akan mendapat RM500. Bagaimanapun, dana kami tersangkut dan terpaksa berhenti membayar sejak November lalu.

"Masalah itu berlaku gara-gara kekecohan yang timbul antara Karyawan dan beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan persatuan kami. Ia menyebabkan banyak projek yang ditarik balik.

"Tahun ini kami akan berusaha mendapatkan apa-apa saja projek demi menyambung semula pembayaran dana Skim Pencen itu," katanya yang dihubungi mStar Online, Isnin.

Antara 22 artis veteran yang mendapat faedah menerusi Skim Pencen tersebut ialah Datuk Yahaya Sulong, Hamid Gurkha dan Seri Bayu.

Tambah Freddie, bagaimanapun, pemberian dana kepada 22 orang veteran berkenaan bergantung kepada keuntungan yang diperoleh berdasarkan projek yang dibuat.

"Setakat ini, difahamkan hanya Karyawan sahaja yang membuat skim ini. Saya harap supaya mana-mana pihak dapat membantu dan bekerja sama dengan kami dalam pemberian dana berkenaan," ujarnya.

Skim Pencen mula ditubuhkan Karyawan enam tahun dahulu untuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada artis-artis veteran yang kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, apabila persengketaan mula timbul di antara Karyawan dan Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (Prism), tentang isu penyelewengan wang royalti artis yang telah disalahgunakan, skim tersebut gagal dilaksanakan kerana tiada projek yang diperoleh persatuan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain