suria

Yahya Sulong Semakin Uzur, Kadang-Kala Pelupa

Yahya Sulong merenung nasibnya yang semakin uzur. - Foto THE STAR Oleh YAP CHEE HONG
Yahya Sulong merenung nasibnya yang semakin uzur. - Foto THE STAR Oleh YAP CHEE HONG
Yahya Sulong merenung nasibnya yang semakin uzur. - Foto THE STAR Oleh YAP CHEE HONG

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran, Datuk Yahya Sulong, 84, berada dalam keadaan uzur sehingga kadangkala menjadi pelupa serta berperangai seperti kanak-kanak.

Isteri beliau, Datin Alisah Ali, 64, berkata, Yahya akan menyelongkar dapur dan laci untuk mencari sesuatu tanpa tujuan pada tengah malam dan gemar keluar dan masuk sambil mengunci rumah.

"Saya beritahunya supaya jangan mengunci pintu rumah jika dia hendak keluar sekejap kerana takut apa-apa berlaku dan saya tidak mempunyai kunci penduanya ketika itu.

"Saya tidak dapat tidur lena kerana bimbangkan kesihatannya,” luah Alisah ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Seri Perak, Bandar Baru Sentul, Rabu.

Yahya dikunjungi Biro Pemuzik Profesional, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Ia turut dihadiri, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Pengerusi Biro tersebut, Aznan Alias serta rakan artis seperti Radhi Khalid dan Nassier Wahab.

Dalam kunjungan itu Karyawan memberikan sumbangan berupa cek sebanyak RM2,000 untuk rawatan perubatan beliau.

Menurut Alisah, suaminya mengalami asma, sakit jantung, sukar bernafas malah baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) seminggu yang lalu.

Katanya, Yahya sebelum ini sudah dua kali dimasukkan ke Hospital Ampang tetapi terpaksa ditukarkan ke HKL ekoran kos pengangkutan untuk dia ulang-alik menjaga suaminya itu yang tinggi.

Kos tambang teksi mencecah RM17 sekali perjalanan sementara bas awam memerlukan pertukaran sebanyak tiga kali dari kediamannya di Sentul ke hospital tersebut.

Alisah memberitahu, suaminya sebelum ini pernah menerima pencen bulanan sebanyak RM500 sebulan daripada Karyawan tetapi sumbangan itu telah dihentikan sejak empat bulan lalu ekoran krisis kepimpinan yang berlaku.

"Datuk Freddie pernah menghulurkan duitnya sendiri kepada kami. Kami juga memohon bantuan daripada Baitulmal dan masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Freddie berkata, sumbangan derma itu diberikan kepada Yahya bagi meringankan beban kos perubatan yang dialami beliau.

Katanya, beliau bukan sahaja berjasa sebagai artis malahan atas sumbangannya sebagai polis hutan memperjuangkan kemerdekaan negara pada 1950-an dulu.

Sementara itu, Yahya berterima kasih kepada Karyawan dan berjanji akan menyumbangkan tenaganya apabila sembuh nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Lain