Pelancaran laman web rasmi Berita TV3 yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, Selasa. - Foto The Star oleh BRIAN MOH.PETALING JAYA: Pelancaran laman web rasmi Berita TV3 yang memaparkan berita-berita daripada Buletin Pagi, Buletin Utama, Buletin 1.30, Berita Terkini, Bizworld dan Nightline menerusi Internet tidak akan menggugat kadar tontonan program-program tersebut di televisyen.Menurut Pengarang Urusan Rangkaian TV & Radio Media Prima Berhad (MPB), Shaharudin Abdul Latiff, kandungan dan bahan berita yang dipaparkan dalam laman tersebut adalah lanjutan dan hebahan ringkas beberapa berita terpilih sahaja. Ia juga merupakan alternatif kepada masyarakat yang sibuk dan tidak sempat untuk menonton berita. Bagaimanapun, kandungan dan liputan lengkap sesebuah berita itu masih dipaparkan menerusi televisyen."Laman berita ini adalah alternatif kepada masyarakat yang mahukan berita yang ringkas dan cepat. Berita-berita yang dipaparkan dalam portal itu juga tidak sebanyak jumlah berita yang disiarkan di televisyen."Contohnya, jika ada 40 berita dalam Buletin Utama, hanya beberapa berita penting yang terpilih sahaja yang akan dipaparkan dalam laman web itu. Kupasan berita yang lebih lengkap masih disiarkan menerusi televisyen."Laman web itu boleh dikatakan sebagai lanjutan atau hebahan segera bagi berita-berita yang disiarkan dalam program-program berita kami," katanya pada sidang media pelancaran portal tersebut di Sri Pentas, Bandar Utama, Selasa.Sementara itu, Pengerusi MPB, Datuk Johan Jaaffar berkata kewujudan laman web tersebut sebaliknya bertujuan untuk mengembangkan dan menarik lebih ramai penonton program-program berita stesen itu, seiring dengan perkembangan Internet hari ini."Kita berharap pengenalan laman web rasmi itu dapat menarik lebih ramai penonton program berita di TV3 terutamanya golongan muda dan penonton yang berada di luar negara."Penonton yang terlepas untuk menyaksikan program Buletin Utama boleh melayari web itu kerana kandungan berita yang sama akan turut dipaparkan."Pengenalan laman ini juga adalah transformasi kami seiring dengan perkembangan Internet hari ini," katanya.Selain paparan berita-berita terkini, portal berkenaan turut memaparkan video tanpa suntingan secara eksklusif, rakaman ucapan pemerintah dan orang-orang kenamaan yang lengkap dan segmen Aduan Rakyat yang mengetengahkan laporan masalah penduduk setempat.Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen MPB, Ahmad Izham Omar dan Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa TV3, Datuk Ashraff Abdullah.Laman web yang mula dilancarkan sejak Februari lalu itu boleh dilayari menerusi www.tv3.com.my/beritatv3.