suria

Farawahida Tidak 'Demand' Selepas Kontroversi

Farawahida kini bergerak sendiri. - Foto SIA HONG KIAU
Farawahida kini bergerak sendiri.  - Foto SIA HONG KIAU
Farawahida kini bergerak sendiri. - Foto SIA HONG KIAU

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farawahida yang pernah dilanda kontroversi dengan bekas pengurusnya dua tahun lalu lebih selesa bergerak secara solo dalam bidang seni.

Malah penyanyi lagu Tanpamu ini mengaku tiada lagi istilah demand dalam kamus hidupnya berbanding ketika bernaung di bawah pengurusan sebelum ini.

“Sebelum saya bergerak sendiri kira-kira setahun setengah dahulu, semua urusan melibatkan bayaran persembahan diuruskan oleh pihak pengurusan dan saya tidak tahu-menahu langsung tentang perkara tersebut.

“Jadi apabila semuanya diuruskan sendiri sekarang, saya tidak meletakkan harga terlalu tinggi dan boleh dirunding.

"Begitu juga dengan persembahan amal, saya tidak kisah dengan bayaran yang pihak penganjur ingin berikan,” katanya yang bakal muncul dengan single terbarunya berjudul Jangan Tanya Aku Lagi.

Menurut Farawahida yang mesra dengan panggilan Fara, single ciptaan sepenuhnya oleh 6ixth Sense itu merupakan lagu pertama yang dihasilkan dengan usaha dan modalnya sendiri bermula pertengahan tahun lalu.

“Peminat selalu bertanya bila saya akan tampil dengan lagu terbaru. Sekarang saya sedang dalam proses suntingan terakhir lagu Jangan Tanya Aku Lagi.

“Walaupun saya mendapat bantuan komposer hebat seperti Adi dan beberapa pihak yang terlibat, tetapi saya masih perlu meneliti dan menjaga semua perkara.

“Saya sentiasa berhati-hati sejak insiden yang berlaku sebelum ini,” ujarnya yang bakal muncul dalam filem Baik Giler yang telah selesai penggambaran pada Julai lalu.

Filem komedi terbitan Layar Dimensi tersebut turut dilakonkan oleh Zizan Raja Lawak, Sharifah Shahira, Awie dan Abon.

Selain itu, Fara juga dijangka akan terlibat dalam pembikinan lagu tema sebuah drama untuk TV3.

Menyentuh tentang kehidupan peribadi, Fara yang semakin kuat melayari kehidupannya kini mengaku berkawan dengan seseorang tetapi masih belum bersedia menganggap lelaki itu sebagai kekasih hati.

“Saya belum mempunyai kekasih tetapi selesa berkawan. Mungkin sebelum usia 30 tahun saya akan memikirkan tentang perkahwinan.

“Tetapi saya agak risau juga apabila kakak-kakak saya sudah berkahwin pada usia 27 tahun sedangkan saya belum bertemu jodoh lagi pada usia sekarang,” beritahunya yang menyambut kelahirannya ke-26 pada 19 Mac lalu.

Peminat boleh menghubungi Fara di laman sesawang Facebook bernama Real Farawahida Razali dan Farawahida Fanz selepas akaun Facebook lamanya, Farawahida Razali tidak boleh digunakan lagi setelah ia diceroboh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain