suria

Ahmad Idham Berhati-Hati Bikin 'Senjakala'

Filem Senjakala bakal menemui penonton di pawagam pada 14 April ini. - Foto Excellent Pictures.
Filem Senjakala bakal menemui penonton di pawagam pada 14 April ini. - Foto Excellent Pictures.
Filem Senjakala bakal menemui penonton di pawagam pada 14 April ini. - Foto Excellent Pictures.

PETALING JAYA: Industri perfileman yang melahirkan banyak karya seram membuatkan pengarah filem Ahmad Idham lebih berhati-hati dalam merealisasikan karyanya menerusi Filem Senjakala.

Filem yang akan ditayangkan pada 14 April ini mengangkat persoalan di antara cinta dua insan dan makhluk ghaib belaan mereka.

Kata Idham, adegan seram yang cukup menakutkan sudah menjadi satu penanda aras dalam karya seram pada hari ini.

“Tapi sebenarnya, plot dan penceritaan masih menjadi inti pati sebuah cerita seram yang bagus.

"Senjakala memberi kepuasan kedua-duanya iaitu unsur seram dan jalan cerita yang boleh dihayati oleh penonton,” katanya.

Filem ini menjalani penggambaran sekitar Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam selama 20 hari dengan membariskan pelakon-pelakon hebat iaitu Zahiril Adzim dan Liyana Jasmay serta dibantu oleh Kamal Adli dan Faezah Elai.

Ia diterbitkan di bawah syarikat produksi Idham iaitu Excellent Pictures.

Dengan kos mencecah RM1.7 juta keseluruhannya, Senjakala diinspirasikan oleh Idham dengan mengangkat dua watak utama iaitu Arman (Zahiril) dan Karlisa (Liyana). Senjakala menceritakan bagaimana Karlisa yang kematian tunangannya dalam kemalangan jalan raya telah pulang ke Kampung Senja Lama iaitu tempat dia membesar bersama-sama teman rapatnya, Isabella.

Di kampung tersebut, Karlisa telah tinggal dengan Opah Maimon selain sering bertemu dengan Arman, seorang jejaka kampung yang hidup terasing dari orang lain.

Perkenalan itu menyingkap satu rahsia di mana kedua-duanya mempunyai saka peninggalan orang tua mereka.

“Cerita ini menjelaskan bagaimana keadaan mereka yang ‘membela’ sesuatu. Selain itu, ia turut merujuk kepada kelakuan, percakapan, pergaulan dan apa yang berkaitan dengan orang seperti ini,” kata Idham.

Kala ditanya apa bezanya Senjakala dengan karya-karyanya terdahulu seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Niyang Rapik, pengarah ini memberitahu, filem ini dihasilkan dengan elemen terbaik yang ada dalam filem-filem tersebut.

“Kombinasi yang terbaik dalam Senjakala adalah dua pelakon utamanya, Zahiril Adzim dan Liyana Jasmay yang pernah dicalonkan untuk Shout! Awards 2009, bagi kategori ‘Best On Screen Chemistry’. Kemesraan ini dapat dilihat melalui Senjakala,” jelas Idham menceritakan mengenai pemilihan dua pelakon utama filem ini.

Bagi pemenang Anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 23, melalui filem Niyang Rapik, jurukamera Raja Mukhriz menganggap Senjakala memberi satu peluang lebih besar dalam menjana kreativitinya melalui teknik kamera yang menjadi sebahagian dari elemen penceritaan.

“Jika dilihat pergerakan kamera yang lebih seperti terapung juga boleh diistilahkan sebagai ‘unstability of movement,’ (pergerakan yang tidak stabil) adalah satu kaedah untuk membawa penonton sebagai pihak ketiga dalam Senja kala.

Ia merujuk kepada saka untuk setiap watak,” jelas Raja Mukhriz lagi.

Secara normal, sesebuah karya seram, boleh dipertingkatkan lagi nilai dan aspek ketakutan itu melalui sentuhan kesan khas, terutamanya makhluk ghaib atau hantu di dalam sesebuah filem.

Sementara itu, Mohd Khalil Md Yusuf atau lebih dikenali sebagai Amy Chantik, diberi peluang buat pertama kalinya bekerja di bawah Ahmad Idham untuk menzahirkan kesan khas seram.

Bagi Amy sendiri, melakukan kesan khas dalam Senjakala merupakan satu tugas yang berlainan dari apa yang telah dilakukan sebelumnya.

“Saya perlu membuat kajian yang lebih menyeluruh melalui penyelidikan dan pemerhatian terutamanya kepada mereka yang pernah terlibat dalam amalan saka selain rujukan di Internet mahupun buku-buku.

“Saya cukup teruja dan berterima kasih, sekali memberikan sepenuh komitmen dalam memenuhi hasrat pengarah,” kata Amy.

Excellent Pictures telah menerbitkan filem-filem lain antaranya Tipah Tertipu, Impak Maksima dan Niyang Rapik.

Selain itu dua buah filem iaitu Hantu Bonceng telah selesai proses pasca produksi dan menanti tarikh tayangan manakala filem Jangan Pandang Pandang baru sahaja selesai menjalani proses penggambaran.

Artikel Sebelum

Artikel Lain