Ameng digari ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, Selasa. - Foto A MALEX YAHAYAMELAKA: Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, dihukum penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa kerana kesalahan dadah.Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas Ameng, 42, mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Ameng, didakwa bersama-sama isterinya Sabariah Zakaria, 41, bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua. Sabariah yang mengaku tidak bersalah kemudiannya dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadapnya.Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ameng dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 105.90 gram dalam sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada 5.20 petang 1 Februari lepas.Dia didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2), Akta yang sama dan dibacakan bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ameng dihukum penjara dua tahun setelah mengaku bersalah pada waktu, tempat dan tarikh yang sama, memiliki dadah methamphetamine seberat 0.22 gram.Dia didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3), akta yang sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.Bagi satu lagi pertuduhan, Ameng dihukum penjara satu tahun dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis methamphetamin, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, pada 6 petang 1 Februari lepas.Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1)(b) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 38b akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan.Hakim Abu Bakar memerintahkan hukuman penjara bagi tiga pertuduhan tersebut berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 1 Feb lepas, bermakna Ameng menjalani hukuman penjara sebanyak lapan tahun dan 10 sebatan serta dua tahun pengawasan oleh polis.Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota polis yang menyerbu bilik hotel berkenaan dan menjumpai sebuah beg hitam di bawah sofa dan Ameng sedang duduk bersila di lantai berhadapan kerusi itu.Apabila beg itu dibuka, terdapat satu beg kertas yang telah terkoyak dan di dalamnya terdapat bungkusan plastik berwarna biru lut sinar mengandungi ketulan daun mampat dipercayai ganja.Semasa serbuan itu, isteri Ameng dan seorang kanak-kanak lelaki, dipecayai anak mereka, turut berada dalam bilik itu. Terdahulu dalam merayu agar dikenakan hukuman yang ringan, peguam Azrul Zulkifli Stork, yang mewakili Ameng, berkata penyanyi itu menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.Timbalan Pendakwa Raya, Iffa Sirrhu Samsudin, berkata sebagai seorang yang dikenali umum terutama golongan remaja, kesalahan seperti itu memberi impak tidak baik kepada golongan tersebut.Beliau memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat supaya tidak terjebak dengan dadah yang memusnahkan kehidupan. -BERNAMA