Liyana Jasmay mengakui kehidupan selebriti popular tidak semudah yang disangkakan oleh orang ramai. - Foto LOW BOON TATPETALING JAYA: Aktres Liyana Jasmay, 23, menyifatkan kehidupannya sebagai seorang selebriti popular tidak semudah yang disangka oleh orang ramai.Jelas Liyana, walaupun dia mensyukuri keistimewaan yang diperoleh dengan status tersebut, dia tidak dapat menyangkal kesulitan yang terpaksa dilaluinya pada hampir setiap waktu. "Peminat dan masyarakat hanya nampak kehidupan seorang selebriti itu indah, mewah dan popular semata-mata. Hakikatnya, ia tidak semudah dan selancar yang disangka."Sejujurnya, bukan mudah untuk bergelar Liyana Jasmay. Saya gembira dan bersyukur dengan segala kelebihan yang dimiliki tetapi orang tidak tahu banyak juga kesulitannya."Kehidupan saya tidak semudah yang orang anggap. Ada ketikanya saya rasa diri seperti robot atau mesin. Semuanya diaturkan dan saya perlu melakukan semua itu, bergerak ke sana dan sini mengikut jadual," kata gadis yang mesra disapa Nana ini.Bagaimanapun, pelakon filem Papadom ini akur setiap kesenangan dan kesempurnaan dalam kehidupan memerlukan pengorbanan.Justeru itu, Liyana perlu berkompromi dalam banyak perkara terutamanya yang melibatkan tindak-tanduk dan perlakuannya agar disenangi oleh orang sekeliling."Walaupun saya terpaksa melalui hidup seperti robot dan memenatkan tetapi pengorbanan itu terbalas dengan apa yang saya miliki hari ini."Saya sedar kejayaan dan keselesaan tidak datang bergolek. Jadi saya perlu bekerja keras dan berkelakuan sewajarnya agar disenangi ramai," katanya.Menyentuh perkembangan terbaru, anak bongsu daripada empat beradik ini baru saja terlibat dengan penggambaran filem pendek, Cinta Akhir di samping Pierre Andre dan Iz OIAM.Filem yang dihasilkan bersempena dengan Kempen Anti-Merokok (ASAP) untuk golongan belia itu diarahkan oleh Aron Koh dengan mendapat sokongan Dana Belia 1Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan.Untuk maklumat lanjut, layari www.asap.my.