suria

Anne Ngasri Perjelas Diserang Strok

PETALING JAYA: Pelakon Anne Ngasri (gambar) atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 26, terkejut apabila dikatakan telah dimasukkan ke hospital kerana diserang strok pada petang semalam.

Jelas Anne, dia tidak pernah mengalami penyakit tersebut malah turut hairan bagaimana berita tersebut timbul.

“Saya terkejut apabila ramai yang telefon saya hari ini dan bertanyakan tentang hal tersebut.

“Memang saya ada ke hospital minggu lalu tapi bukan sebab penyakit tersebut tetapi kerana demam biasa sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Anne dihubungi bagi menjelaskan dakwaan dia di masukkan ke hospital akibat serangan strok di sebuah laman portal hiburan. Namun dia mengakui ke hospital bagi menerima rawatan kerana mengalami demam dan batuk.

Bagaimanapun, menurut Anne, dia sudah kembali bekerja semula bagi penggambaran drama terbarunya berjudul Cinta Pentadbir Senja.

“Saya dah sihat dan sedang bekerja, Cuma apa yang saya hairan siapa yang sebarkan perkara tidak benar ini.

“Malah ada juga yang beritahu saya dimasukkan ke hospital pada pukul 3 petang semalam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anne tidak mahu perkara tersebut dijadikan bahan lawak jenaka atau khabar angin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak mahu orang ingat saya sakit, strok bukan sakit yang boleh dibawa main.

“Lagi pula saya ini bekerja, saya takut ada yang anggap perkara ini serius sehingga takut untuk menggambil saya berlakon,” ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain