suria

Rozita Che Wan Tak Mungkin Dengan Shahir

Rozita Che Wan.
Rozita Che Wan.
Rozita Che Wan.

PETALING JAYA: Dua individu yang rapat dengan pelakon Rozita Che Wan dan penyanyi Shahir menjelaskan pasangan artis itu tidak dilamun cinta seperti yang digembar-gemburkan di media tempoh hari.

Ibu kepada Shahir, Mahanum Osman dan pelakon Zain Saidin yang mengenali rapat dengan Rozita akui pasangan itu menjadi mangsa gosip dan kedua-duanya tidak pernah jatuh cinta antara satu sama lain.

"Rozita tak mungkin dengan Shahir kerana saya mengenali dirinya. Kami selalu berlakon bersama-sama dan saya tahu dia bukan (bercinta) dengan Shahir," ujar Zain kepada mStar Online.

Bagaimanapun tidak bermakna penjelasan ini membuat ada yang beranggapan dia cemburukan pasangan sama cantik sama padan itu.

Jelasnya, dia hanya menjawab berdasarkan apa yang dia tahu tentang Rozita berdasarkan hubungan persahabatan yang terjalin antara mereka sebelum ini.

Sengaja diusik sama ada Zain menyintai Rozita seperti yang dikhabarkan sebelum ini, lelaki itu hanya tersenyum lebar dan menjawab: "Saya tidak mengiyakan mahupun menidakkan."

Pelakon drama Duyong Aridinata, Kiah Pekasam dan Mata Ayer ini juga mengakui dirinya sudah mempunyai teman istimewa. Namun enggan mengakui sama ada wanita itu adalah Rozita.

"Biarlah saya rahsiakan tentang perkara ini dan suatu hari nanti ia akan terbongkar sendiri apabila tiba masa yang sesuai," jelasnya lagi.

Sementara ibu Shahir, Mahanum hanya tertawa apabila disoal tentang dakwaan mengatakan anaknya sedang dilamun cinta dengan wanita cantik bernama Rozita itu.

Sebalik tawa itu, dia menegaskan anak sulungnya itu tidak mempunyai hubungan cinta dengan Rozita dan menganggap ia sekadar gosip semata-mata.

"Semalam (Ahad) Shahir ada beritahu saya bahawa hubungan mereka tidak lebih sebagai rakan artis kerana selalu bergandingan sama untuk program Astro. Dia kata, mak dan abah kena percaya yang Shahir tiada apa-apa hubungan (cinta) dengan Rozita. Buat masa ini, Shahir ingin tumpukan kepada kerjaya dan keluarga.

"Sejak tersebarnya cerita tentang hubungan cinta Shahir dan Rozita di akhbar, ramai juga yang bertanya kepada saya termasuk ahli keluarga terdekat kerana mereka mempercayai tentang cerita itu. Tetapi saya telah jelaskan kepada mereka dan tetap tidak percaya dengan kenyataan itu kerana saya lebih mengenali anak saya, Shahir.

"Saya telah banyak kali berbual dengan Shahir dan dia beritahu mereka tiada apa-apa (bercinta). Jadi, sebab itu saya yakin dengan dia," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Mahanum juga meluahkan rasa syukurnya apabila mendengar penjelasan daripada mulut anaknya sendiri dan lebih meyakini jawapan Shahir.

Dia yang kini berada di Ipoh berharap penjelasan ini tidak akan memberikan kesan negatif kepada karier anaknya yang sedang meningkat naik selepas reda dari kontroversi sebelum ini.

Penyanyi itu dikatakan mula menimbulkan masalah apabila beberapa sesi fotografi yang telah diatur dibatalkan pada saat-saat akhir.

Malah dia juga gagal hadir semasa sesi mencabut nombor giliran sempena Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) anjuran TV3 selain tidak muncul dalam Konsert Ria 2010 di I-City, Shah Alam, Selangor pada Disember tahun lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain