suria

Penganjur Harap Festival Lagu Islam Dapat Sambutan

Barisan artis nasyid luar dan tempatan yang bakal beraksi di ISF2011 pada 30 April dan 1 Mei ini di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto MUHAMMAD AKIF
Barisan artis nasyid luar dan tempatan yang bakal beraksi di ISF2011 pada 30 April dan 1 Mei ini di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto MUHAMMAD AKIF
Barisan artis nasyid luar dan tempatan yang bakal beraksi di ISF2011 pada 30 April dan 1 Mei ini di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto MUHAMMAD AKIF

KUALA LUMPUR: Walaupun penganjuran sulung Festival Lagu Keislaman (ISF) pada tahun lalu kurang mendapat sambutan, penganjurnya berharap edisi kedua acara itu pada 30 April dan 1 Mei ini akan mendapat sokongan ramai.

Pengarah Urusan Out Of This World Sdn Bhd, Adam Amanullah berkata, hebahan yang lebih luas untuk penganjuran kali ini diyakini dapat meningkatkan tahap sambutan masyarakat.

"Pada tahun lalu, kami masih terlalu baru dalam bidang ini dan urusan promosi telah diserahkan kepada pihak lain. Kami telah belajar daripada kesilapan lalu dan uruskan sendiri festival tahun ini.

"Setakat ini, jualan tiket adalah memuaskan. Untuk malam pertama, sudah 1,300 tiket terjual, manakala malam kedua pula sebanyak 1,700 keping tiket dijual.

"Tiket masih boleh dibeli, cuma kami galakkan orang ramai beli tiket secepat mungkin dan jangan tunggu sehingga saat-saat akhir," katanya.

Mengulas tentang festival tahun ini, Adam menambah: "ISF2011 pastinya lebih besar daripada edisi lalu. Barisan artis kali ini pun lebih ramai, di mana 14 artis luar dan tempatan akan membuat persembahan untuk dua malam.

"Malah, kesemua artis akan menampilkan pelbagai genre muzik nasyid seperti folk, acapella, hip hop, kontemporari, tradisional, pop dan world music.

"Kami berharap agar peminat nasyid akan datang beramai-ramai untuk menyaksikan festival ini kali ini."

Pada malam pertama, ISF2011 membariskan La Rappel (Perancis), Fez Meghani dan Aftab Ali (Amerika Syarikat), The Brothahood (Australia), Khalid Belrhouzi (Perancis) menampilkan Bennami (UAE) dan Ziryab (Brazil), Brotherz (Malaysia), Khaleel Muhamad (United Kingdom) dan legenda nasyid Indonesia iaitu Opick.

Sementara pada malam kedua, penyanyi nasyid terkenal dari Afrika Selatan iaitu Zain Bhikha, Debu (Indonesia), Yasin Sulaiman (Malaysia), Native Deen (Amerika Syarikat), Budi (Jerman), Aashiq al-Rasul (United Kingdom) dan kumpulan Noor (Amerika Syarikat) akan membuat persembahan.

Konsert yang berdurasi empat jam bagi setiap sesi itu akan memperlihatkan persembahan selama setengah jam bagi setiap artis.

Tiket-tiket yang berharga RM103, RM153, RM253 dan RM353 untuk setiap malam persembahan masih dijual menerusi Ticketcharge di talian 03-92228811 atau layari www.ticketcharge.com.my.

Tiket juga boleh didapati di kaunter Saba Islamic Media (D44-D48) bersempena Kuala Lumpur International Fair di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Untuk maklumat lanjut, layari www.isfestival.com atau hubungi Cik Afizah di talian 03-77821332.

Konsert tersebut akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam.

Stesen televisyen TV AlHijrah bertindak sebagai penyiar rasmi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain