Hafiz (AF7)PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz (AF7) melakukan petua dengan menelan sesudu madu lebah bagi mengelak hilang suara dan sakit tekak ketika membuat persembahan.Hafiz berkata, dia turut membataskan pengambilan makanan pedas dan meminum ais kerana mahu memastikan penjagaan vokalnya sentiasa terpelihara. “Sebagai penyanyi, vokal adalah aset saya untuk cari makan. Apatah lagi, selepas memenangi anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) tempoh hari, sudah tentu saya perlu jaga mutu vokal agar konsisten setiap kali mengadakan persembahan."Selain mengurangkan pengambilan makanan pedas dan minuman berais, saya akan telan sesudu madu lebah asli pada setiap kali bangun daripada tidur."Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi berdepan masalah kritikal seperti tiada suara atau sakit tekak yang serius," katanya.Diusik tentang populariti dirinya yang berada pada tahap sederhana walaupun memiliki bakat berbanding segelintir bintang-bintang muda hari ini, Hafiz berkata: "Kalau setakat hendak popular, saya boleh saja cari publisiti murah tapi apa gunanya semua itu."Tak guna kalau kita popular jika tiada impak atau sumbangan pada industri. Bukan bermakna populariti tak penting tapi saya selesa dengan apa yang dilalui hari ini."Biarlah tidak begitu popular atau menjadi perbualan orang pada setiap masa, asalkan kehadiran saya memberikan impak pada dunia nyanyian."Terbaru, penyanyi lagu Awan Nano ini bakal terlibat dengan penggambaran muzik video lagu tema filem Ombak Rindu bersama kekasihnya, penyanyi Adira (AF8), pada minggu depan.Hafiz pernah memenangi trofi vokal terbaik dan mendapat tempat ketiga di AJL25, Januari lalu.