suria

Penonton Marah AC Mizal ‘Sokong’ Amir (Raja Lawak)

AC Mizal memerhatikan Amir dari belakang.
AC Mizal memerhatikan Amir dari belakang.
AC Mizal memerhatikan Amir dari belakang.

PETALING JAYA: Pengacara AC Mizal mengakui ada segelintir penonton Maharaja Lawak kurang bersetuju dengan caranya yang seolah-olah menyokong Amir (Raja Lawak).

AC sering kali menyebut nama Amir sebagai peserta kegemarannya ketika mengendalikan program tersebut pada setiap Jumaat, pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132).

Menjelaskan perkara tersebut, AC berpendapat Amir merupakan peserta underdog dan cuba memberi semangat kepada pemuda itu yang sering memberikan persembahan kurang memuaskan.

Ironinya, AC tidak menyokong sesiapa sebaliknya dia berbangga dengan keberanian Amir.

“Saya tahu ada juga yang marahkan saya tetapi ada yang faham maksud tersirat kenapa saya berbuat begitu. Saya kasihankan Amir. Pada saya, komedi memerlukan elemen yang abnormal. Dari segi penyampaian peserta, kebanyakannya memberikan komedi yang abnormal tetapi Amir pula mempunyai sifat atau perwatakan yang abnormal.

“Walaupun dia jenis yang ‘main belasah’ sahaja, tetapi dia tetap berani untuk bertanding dengan nama-nama besar seperti Jozan, Nabil dan Sepah. Jika saya berada di tempatnya, mungkin tidak berani masuk pertandingan ini,” kata AC kepada mStar Online.

Jelasnya, dia ada menerima komen di laman sesawang Facebook daripada peminat yang memarahinya kerana memberitahu Amir sebagai peserta kegemarannya.

“Ramai yang cakap saya tolong underdog dan mengata saya menjadi penyebab Amir masih kekal dalam Maharaja Lawak.

“Saya hanya beri sokongan moral bukan sahaja kepada Amir tetapi juga kepada peserta lain. Misalnya saya ada juga memberikan pendapat tentang persembahan mereka selaku salah seorang penonton. Tetapi, saya tidak benarkan diri saya mengundi setiap peserta,” ujarnya.

Tambah AC: “Apabila mengendalikan program ini, saya anggap kami sebagai satu pasukan. Kalau boleh saya nak semua peserta bagus supaya ramai penonton mahu menonton Maharaja Lawak.”

Menjangkakan tentang peserta yang dirasakan layak ke peringkat akhir, AC melihat kumpulan Jozan, Nabil dan kumpulan Jambu mempunyai peluang berdasarkan kekuatan masing-masing.

“Jambu sentiasa memberikan persembahan yang bagus setiap minggu, Jozan dan Nabil juga mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.

Pada minggu hadapan, peserta diberikan tugasan dengan tema silent comedy.

Mereka juga diberi mandat untuk mengundi keluar mana-mana peserta yang tidak disukai untuk disingkirkan.

Bagaimanapun, sekiranya peserta yang diundi keluar itu mempunyai markah keseluruhan (markah juri dan SMS) tertinggi, mereka tidak akan disingkirkan, melainkan peserta tersebut mendapat kedudukan di tempat kedua dan ke bawah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain