Adam dan kumpulan VIPPETALING JAYA: Penyanyi Adam AF2 mengakui diganggu makhluk halus sehingga membuatkan dia sukar untuk bersolat sejak tahun lalu.Adam berkata, berikutan itu dia telah mendapatkan rawatan dengan pelakon Ashraf Muslim yang bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional di sebuah klinik tersebut di Gombak, Selangor. “Saya ke klinik tempat Ashraf bekerja kerana mendapatkan rawatan cara Islam untuk membuang makhluk yang berada dalam badan saya.“Sejak beberapa bulan lalu badan saya lemah, sakit, dan hilang tumpuan terutamanya ketika ingin bersolat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Suria Wheels & Red Riders, di sini, Khamis.Katanya, setelah beberapa bulan mendapatkan rawatan tersebut keadaannya semakin pulih terutamanya ketika melakukan ibadah.“Saya tahu ini dugaan kecil buat saya yang baru ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.“Selepas berubat Alhamdulillah rasa yang saya alami itu semakin berkurangan dan perjalanan hidup saya menjadi lebih baik,” katanya.Selain itu, Adam turut menganggap persahabatannya dengan Ashraf membantu dirinya mendalami dan mempelajari lebih banyak lagi tentang agama Islam.“Saya sering datang ke klinik dia bukan sahaja untuk berubat tetapi saya banyak belajar tentang Islam.“Kami bertukar-tukar pendapat, kerana bagi saya dia memahami situasi yang sedang saya alami kerana dia juga seorang artis,” ujarnya.Jelas Adam, kehidupannya kini lebih tenang sejak melakukan perubahan iaitu mula mendekatkan diri kepada Allah sejak akhir tahun lalu.“Saya memang sedang belajar banyak ke arah itu dan mendalami tentang Islam.“Tentang apa yang saya lakukan sekarang iaitu menyanyi saya menganggap ia sebagai rezeki dalam bidang ini. Apa yang penting ialah niat kita dan menjaga ibadah wajib,” katanya.Jelas Adam, dia kini dalam perancangan untuk membuat beberapa lagu tentang ketuhanan bagi projek album akan datang.