suria

Bakat TV Muncul Semula Selepas 26 Tahun

Antara peserta-peserta yang bakal menyertai Bakat TV. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Antara peserta-peserta yang bakal menyertai Bakat TV. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Antara peserta-peserta yang bakal menyertai Bakat TV. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

KUALA LUMPUR: Sejak program pencarian Bakat TV berakhir pada tahun 1985, rancangan itu kembali dengan format yang lebih segar yang dikenali Bakat TV 2011 menerusi saluran TV2.

Menurut Timbalan Seksyen Produksi Televisyen, RTM, Norliza Mohd Ali, program tersebut diaktifkan semula kerana mahu melahirkan semula bakat-bakat seni yang jarang dicungkil oleh program-program televisyen luar seperti menyanyi berkumpulan, menari, bermain alatan muzik dan melawak.

"Walaupun sudah 26 tahun Bakat TV tidak 'aktif', saya percaya kemunculan semula program ini akan menarik perhatian ramai.

"Rasanya belum pernah lagi gabungan nyanyian berkumpulan, tarian, bermain alatan muzik dan melawak di bawah satu program yang sama.

"Lagipun program-program pencarian bakat seperti Indonesia Mencari Bakat, Britain Got Talent dan America Got Talent amat popular pada masa kini dan inilah waktu yang paling sesuai untuk penerbitan semula Bakat TV 2011," katanya pada sidang akhbar Bakat TV 2011 di Restoran Rebung, di sini, Rabu.

Tambah Norliza, walaupun terdapat pelbagai campuran bakat pada program tersebut, penilaian yang dibuat oleh pihak juri berdasarkan kemahiran seni peserta dan kreativiti persembahan yang ditonjolkan.

"Program ini bukan sahaja ingin mencungkil bakat seni yang dimiliki oleh para peserta tetapi mereka juga perlu bijak dan kreatif untuk menarik perhatian penonton," ujarnya.

Sementara itu, Bakat TV 2011 akan diadili oleh empat juri iaitu Pat Ibrahim (tarian), Syafinaz Selamat (vokal), Mr. Os (persembahan dan komedi) dan seorang wakil daripada pihak RTM.

Dari segi pemarkahan, sebanyak 10 peratus diukur oleh impak tepukan gemuruh dan sorakan penonton di studio, 10 peratus daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS) manakala 80 peratus adalah daripada pihak juri.

Bakat TV 2011 akan memulakan siarannya secara langsung bermula 29 Mei depan pada pukul 9 malam, setiap Ahad dengan menampilkan pengacaranya, Muaz.

Ketika Bakat TV pernah popular di era tahun 70-an, nama-nama seperti Salamiah Hassan, Datuk Jamali Shadat, AR Badul, Mr.Os dan Razak Rahman merupakan antara selebriti yang dicungkil bakat menerusi program tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain