PETALING JAYA: Pemenang Drama Bersiri Terbaik dalam Anugerah Golden Globe, Grey’s Anatomy muncul dengan musim terbaru mulai 21 Mei depan.Ia disiarkan setiap Sabtu pada pukul 10 malam menerusi saluran ntv7. Drama bersiri 20 episod ini menjanjikan jalan cerita yang lebih menarik di samping meredakan debaran penonton yang menantikan sambungan ceritanya.Gabungan peristiwa yang mengejutkan serta lakonan yang berkesan pada episod penutup tirai musim lepas telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap penonton.Warga Hospital Seattle Grace masih sukar untuk melupakan tragedi yang berlaku apabila seorang penembak telah meragut 11 nyawa, termasuklah beberapa orang doktor.Untuk musim ketujuh kali ini, penonton akan dibawa kembali kepada peristiwa tembak-menembak tersebut.Derek Shepherd (Patrick Dempsey) yang baru keluar dari hospital, masih tidak mengetahui keadaan isterinya, Meredith Grey (lakonan Ellen Pompeo).Derek dan Meredith sekali lagi dipisahkan gara-gara kemalangan yang menimpa mereka.Kehidupan watak-watak utama juga telah berubah pada musim ini dimana mereka harus berdepan dengan cabaran hidup yang lebih sukar.Hubungan Cristina yang dilakonkan oleh Sandra Oh dan Owen Hunt (Kevin McKidd) juga mengalami perubahan dramatik dalam musim ini, manakala Miranda Bailey (Chandra Wilson) membuat keputusan yang sukar dalam percintaannya.Watak Dr Jackson Avery (Jesse Williams) dan Dr April Kepner (Sarah Dew) pula memegang peranan yang lebih penting dalam musim ke-7 ini.Nantikan jalan cerita yang lebih dramatik apabila April dan Jackson berpindah ke rumah Meredith dan Derek musim ini.Grey’s Anatomy yang menyelami kehidupan peribadi dan profesional doktor-doktor di Hospital Seattle Grace ini telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Imej NAACP (National Association For the Advancement of Coloured People) untuk Penulisan Drama Bersiri yang cemerlang tahun 2010 (Shonda Rhimes) dan Pengarahan Terbaik dalam Drama Bersiri tahun 2010 (Chandra Wilson).