suria

Erin Malek Tak Lengkap Tanpa Cermin

NAMA Erin Malek,17, tiba-tiba melonjak apabila dipalit dengan kontroversi melibatkan dirinya dan pelakon Fiza (Elite) pada Oktober tahun lalu.

Mana tidaknya, Erin dikatakan naik berang dengan dakwaan Fiza yang kononnya dikatakan menjalinkan hubungan dengan bapanya, Abdul Malik Marwi, seorang jurukamera.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Erin harus kuat dan tabah meneruskan karier seninya setelah kontroversi itu mulai reda.

Dia yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini juga nekad untuk memberikan tumpuan kepada beberapa subjek penting seperti Prinsip Akaun, Ekonomi dan Matematik Tambahan.

Sebenarnya sudah enam tahun Erin menimba ilmu dalam dunia lakonan. Dianggarkan lebih 25 drama dan enam filem yang dilakonkan oleh gadis ini. Biarpun telah lama, Erin akui dia bukanlah seorang yang terlalu cepat ingin mengejar populariti.

Dia mahu mencipta nama dalam industri ini secara perlahan-lahan dan sering mendengar nasihat ibunya supaya tidak terlalu cepat naik kerana bimbang akan cepat turun.

Pelakon yang agak menyerlah menerusi filem Congkak ini juga memegang prinsip tidak memaksa diri untuk menerima semua tawaran lakonan.

Jadi duta produk Syasya

Pada tahun lalu, Erin dilantik sebagai duta rangkaian produk kosmetik Syasya yang menghasilkan wangian, pelembap bibir, bedak kompak dan pencuci muka.

Sesuai dengan jenama produk tersebut yang disasarkan untuk remaja, Erin akui menyukai kebanyakan produk Syasya terutama pencuci muka. Katanya produk itu sesuai untuk pengguna yang mempunyai kulit berjerawat.

"Saya sering terdedah dengan kosmetik setiap hari lebih-lebih lagi jika menjalani penggambaran, jadi kulit muka saya mudah berminyak. Tambahan pula, saya suka makan makanan laut yang membuatkan muka saya senang ditumbuhi jerawat.

"Apabila saya mencuba pek percubaan set penjagaan kulit Syasya, saya rasa produk itu memberikan kesan yang baik kepada kulit saya.

"Dalam banyak-banyak produk, saya suka gel jerawat Syasya yang sangat bagus dan memberikan tindak balas yang cepat kepada kulit. Lagipun produk itu tak mahal, saya beli pek percubaan pada harga RM6," ujarnya kepada OopStarz!.

Selain itu, Erin juga berkongsi tentang empat jenis wangian bebola daripada Syasya. Antara empat jenis itu, dia paling menggemari wangian jenis Idaman.

Disebabkan saiznya yang kecil, Erin meletakkan wangian itu di dalam beg duitnya bagi memudahkan untuk dibawa ke mana-mana.

"Apabila cuaca panas, saya cepat berpeluh. Jadi, saya akan menyapu wangian ini pada tempat tertentu supaya diri sentiasa wangi," ceritanya lagi.

Tambahnya yang mula mengenakan mekap pada usia 11 tahun: "Saya jenis yang sentiasa menjaga kecantikan dan sebab itu saya akan melihat cermin agar dapat memastikan wajah sentiasa berada dalam keadaan cantik.

"Jadi, saya selalu membawa bedak kompak yang bercermin dan pelembap bibir ke mana-mana termasuk ke sekolah. Saya rasa macam tak lengkap kalau tiada cermin kerana orang sentiasa memerhatikan penampilan kita."

Penampilan matang

Baginya yang gemar berbelanja, saat membeli-belah pastinya memberikan suatu nikmat yang tidak terhingga.

Kepuasan apabila berbelanja bukan sahaja memulihkan ketegangan dalam diri, malah seolah-olah terapi yang bertukar kepada tabiat sehingga dia mengakui dirinya seorang pemboros.

"Apabila bekerja, saya mendapat duit poket sendiri. Jadi, saya akan berbelanja dengan keluarga. Saya memang sangat boros apabila mendapat duit lebih.

"Tetapi walau macam mana pun, saya tetap akan mengingati keluarga dan membeli hadiah untuk mereka," katanya yang mahu berlakon lebih banyak filem aksi dan seram.

Menyentuh tentang penampilan, Erin gemar bergaya mengikut keadaan dan gaya semasa. Memandangkan dia suka bergaul dengan kawan-kawan yang lebih berusia daripadanya, kadangkala tidak menafikan ia sedikit-sebanyak mengubah cara dia berpakaian.

"Saya suka berkawan dengan orang lebih tua daripada saya seperti mereka yang berusia 26 tahun. Jadi, apabila keluar bersama-sama mereka, saya terikut-ikut dengan penampilan mereka yang lebih matang.

"Bagaimanapun, saya tidak terlalu terikat dengan satu jenis fesyen sahaja dan agak fleksibel untuk mengenakan apa-apa jenis pakaian mengikut keadaan dan majlis yang dihadiri," ujarnya lagi.

Foto YAP CHEE HONG

Solekan VIE XENDDRA (0129795875)

Pakaian WANPA, RIFFAI & NIK ERWAN ROSELI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AF9: Nera Tersingkir

Artikel Lain