suria

Zulkifli Ismail Berjaya Buang Tabiat Merokok

PETALING JAYA: Pelakon drama Gerak Khas, Zulkifli Ismail (gambar) berjaya merubah tabiat buruknya sebagai seorang perokok tegar apabila berjaya meninggalkan tabiat itu sejak enam bulan lalu.

Katanya, dia tidak menyangka yang dirinya mampu melakukan sedemikian walhal sebelum ini dia boleh menghisap sehingga 30 batang rokok sehari.

“Kalau dulu, saya boleh menghabiskan 30 batang rokok sehari tetapi sekarang saya sudah berjaya berhenti merokok.

“Saya tidak menggunakan apa-apa ubat atau rawatan untuk menghentikan tabiat merokok ini tetapi yang penting hati untuk melakukan perkara tersebut atau tidak,” katanya pada majlis tayangan media filem KL Gangster di Cathay Cineleisure, e@curve, di sini, Isnin.

Zulkifli mengalu-alukan sesiapa yang ingin meminta nasihat daripadanya jika mahu berhenti merokok.

Pelakon itu pertama kali mengendalikan majlis terbitan Skop Production tersebut sebagai pengerusi majlis memandangkan sebelum ini tempat itu sering dilakukan oleh penulis dan pelakon Aimi Jarr yang meninggal dunia pada 10 Mei lalu.

Zulkifli juga bakal muncul dalam filem Legenda Budak Setan 2 yang turut dilakonkan oleh Farid Kamil, Lisa Surihani dan Maya Karin tidak lama lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain