Kulit album Andrew Gold.PENYANYI, pengubah dan penulis lirik Andrew Gold, 59, yang lebih popular kerana mengangkat nama penyanyi-penyanyi seperti Linda Ronstadt, The Eagles dan Jackson Browne pada tahun 70-an meninggal dunia Jumaat lalu (3 Jun) di kediamannya di Encino, California, Amerika Syarikat.Bagaimanapun, Andrew akan lebih dikenang sebagai pengubah lagu tema siri televisyen popular The Golden Girls menerusi lagu “Thank You for Being a Friend”. Keluarganya berkata, Andrew menderita kerana sakit kanser buah pinggang. Malangnya, punca kematiannya bukanlah disebabkan oleh sakit yang sedang dialaminya itu tetapi disebabkan oleh serangan jantung.Selain mengubah lagu untuk albumnya sendiri, Andrew Gold juga pernah bermain muzik dan mengubah lagu untuk dua orang bekas anggota The Beatle John Lennon dan Paul McCartney, Cher dan juga Celine Dion. Lagu solo hitnya yang mendapat perhatian ramai ialah “Never Let Her Slip Away” dan “Lonely Boy”.Mendiang disifatkan sebagai pemuzik dan komposer serba boleh tanpa pernah mempelajari teknik membaca nota lagu. Semuanya dipelajari menerusi gerak hati dan pendengaran.Skil mengubah lagu yang dimilikinya telah membantu melonjakkan nama artis seperti Linda Ronstadt ke puncak populariti.Andrew mewarisi bakat muzik dari kedua-dua ibu-bapanya. Ibunya Marni Nixon, adalah penyanyi yang suaranya digunakan oleh Audrey Hepburn untuk menyanyi dalam filem “My Fair Lady” dan oleh seorang lagi pelakon Deborah Kerr dalam filem “The King And I” serta Natalie Wood dalam “West Side Story”.Manakala bapanya pula, Ernest Gold adalah seorang komposer untuk pelbagai filem Hollywood.Andrew pertama kali bertemu dengan Linda Ronstadt ketika masih di bangku sekolah apabila dia pergi menyaksikan persembahan Linda dan bandnya The Stone Poneys di bandar kelahirannya.Apabila kumpulan itu berpecah pada tahun 1967, Andrew Gold bersama guitaris The Stone Poneys, Kenny Edwards dan penulis lagu Wendy Waldman serta Karla Bonoff menubuhkan band baru yang dinamakan Bryndle.Bryndle tidak bertahan lama. Kumpulan itu berpecah dan bermula dari saat itulah Andrew bersama Edwards bersatu dengan Linda Ronstadt untuk menubuhkan band baru.Pada tahun 1974, dengan bantuan Andrew, Linda menghasilkan album hitnya yang pertama berjudul “Heart Like a Wheel”.Andrew terus bermain muzik bersama kumpulan Linda sehingga 1977, bermain dan mengubah muzik untuk empat album seterusnya.Tetapi ketika masih bersama kumpulan Linda, Andrew telah pun menghasilkan album solonya yang pertama berjudul “Andrew Gold” pada 1975 diikuti dengan “What's Wrong With This Picture?” (1976).Namun lagu yang menjadikan namanya popular ialah “Lonely Boy” pada tahun 1977 apabila ia menduduki carta US top 10 dan menduduki tangga ke-11 di Britain.Pada tahun berikutnya, Andrew menghasilkan lagu “How Can This Be Love”, “Thank You for Being a Friend” dan “Never Let Her Slip Away” yang mana ketiga-tiga lagu terus menduduki carta 10 lagu popular di United Kingdom dan juga Amerika Syarikat.Sejak itu, bakatnya terus dicurahkan kepada beberapa penyanyi popular lain termasuklah album Art Garfunkel “I Only Have Eyes for You”. Dia juga bermain dram dan gitar untuk album Eric Carmen “Boats Against the Current” (1977), menulis lagu single “I Saw the Light” (1992) untuk Wynonna Judd.Pada tahun 1990-an, Andrew berjaya mengumpul semua anggota asal band pertamanya The Bryndle dan menghasilkan album bersama.Andrew Gold meninggalkan isterinya, Leslie dan tiga orang anak perempuan hasil perkahwinannya yang terdahulu iaitu Emily, Victoria dan Olivia.