suria

Artis Baru, Lama Meriahkan FMKL 2011

KUALA LUMPUR: Festival Muzik Kuala Lumpur 2011 (FMKL 2011) kembali lagi sepanjang Julai ini yang bakal menggabungkan karyawan muzik lama dan baru bertemakan Kembara Muzik : Klasik ke Kontemporari

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli berkata matlamat FMKL 2011 masih sama iaitu menyediakan ruang dan peluang kepada pemuzik dan penghibur tanah air untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

"JKKN merupakan sebuah jabatan yang berusaha melaksanakan program pembangunan kebudayaan dan kesenian melalui program- program bimbingan, merakyat dan menyemarakkan seni dan budaya.

"Kerajaan juga berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kesenian antarabangsa yang mana sepanjang Julai depan pelbagai aktiviti akan diadakan dalam bentuk aktiviti-aktiviti seni persembahan, warisan dan keilmuan," katanya pada siding media Festival Muzik Kuala Lumpur 2011, di sini, Isnin.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Tambahnya, semenjak program ini dianjurkan pada tahun 2005, FMKL telah berjaya menarik hampir 30,800 orang pengunjung dan peminat seni muzik tanah air termasuk dari negara jiran.

"Pada tahun ini, kami telah merancang beberapa pengisian yang sedikit berbeza bagi membolehkan lebih ramai karyawan dan seluruh pencinta muzik terlibat.

"Gabungan pemuzik lama dan baru juga bakal memberi impak yang lebih bertenaga dalam persembahan yang bakal dipersembahkan," katanya.

Sementara itu, Istana Budaya dipilih sebagai lokasi utama bagi setiap aktiviti dan persembahan yang akan dilakukan.

Manakala artis yang bakal terlibat adalah Datuk Khadijah Ibrahim, Dayang Nurfaizah, Aizat, One Nation Emcees, Bahbola, Datuk M. Daud Kilau, Najwa Mahiadin dan Suki.

"Kita memilih Istana Budaya dan kawasan di sekitarnya adalah bagi memudahkan pengunjung untuk hadir kerana lokasi yang strategik.

"Selain itu, pengunjung lebih mudah untuk ke sesuatu persembahan di dalam kawasan yang sama," tuturnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain