Siti Nurhaliza (kanan) mengisi borang untuk menjadi askar wataniah di Kementerian Pertahanan, Khamis. Foto The Star: Azhar MahfofKUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin merupakan antara artis yang menyerahkan borang penyertaan dan menerima kelengkapan pakaian seragam sebagai simbolik beliau menyertai Rejimen Askar Wataniah.Selebriti lain yang turut menyertai pasukan tersebut adalah pelakon Shaheizy Sam, Intan Ladyana, penerbit filem David Teo, penyanyi Ana Raffali dan penyanyi Aizat. Penyerahan uniform itu dilakukan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Pertahanan, di sini, Khamis.Menurut Siti, program ini bukan sahaja membantu menguatkan mental dan fizikalnya tetapi mampu meningkatkan jati dirinya sebagai seorang sukarelawan."Saya pernah menyertai latihan ketenteraan yang lasak sebelum ini untuk sebuah program televisyen tetapi menyertai askar wataniah lebih berbeza dan memerlukan senaman yang lebih," katanya pada majlis tersebut.Dia bersedia untuk melakukan latihan pada bila-bila masa bergantung kepada kesesuaian jadual kariernya.Malah dia lebih seronok jika ramai peminatnya turut serta menyertai askar wataniah.Sementara Ana Raffali berkata angan-angannya menjadi kenyataan apabila ditawarkan melibatkan diri dalam rejimen itu."Saya pernah berangan-angan untuk menjadi askar tetapi angan itu tidak dapat diteruskan kerana kekangan masa dan tidak tahu prosedurnya."Setelah mendapat tawaran daripada Kementerian Pertahanan, saya terus menerimanya," katanya yang pernah memegang jawatan koperal sewaktu menyertai kadet remaja sekolah.Tanpa berselindung, Ana akui dia pernah mengidap asma. Bagaimanapun, padanya masalah kesihatan tidak akan menghalang dirinya untuk menyumbang sesuatu kepada negara.Aizat pula begitu teruja untuk menyertai pelbagai jenis latihan seperti kawad kaki, menembak, mengendalikan senjata seperti bom dan M-16 setelah mendengar cerita daripada kawannya yang merupakan seorang anggota tentera di Singapura.Sementara Shaheizy Sam menyertai askar wataniah demi meneruskan cita-cita arwah ayahnya dan mempelajari lebih banyak ilmu ketenteraan yang menyeronokkan.Selain selebriti berkenaan, anak sulung Zahid Hamidi iaitu Nurul Hidayah,34, yang juga pengacara rancangan Inspirasi Ramadan di RTM turut menyertai pasukan itu.