suria

Iqram Cari Calon Isteri Dalam Masa Dua Bulan

Iqram Dinzley
Iqram Dinzley
Iqram Dinzley

KUALA LUMPUR: Pelakon Iqram Dinzley sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan memberi tempoh kepada dirinya dalam masa dua bulan untuk mendapatkan calon isteri yang sesuai.

Kata Iqram, sudah tiba masanya untuk dia memberi komitmen membina sebuah keluarga dan jika gagal menemui calon yang sesuai, dia akan menyerahkan tugas 'pencarian' itu kepada ibunya.

"Saya sudah bersedia ke arah itu (berkahwin) dan sepatutnya saya mahu menamatkan zaman bujang di usia 30 tahun yang jatuh pada 29 September depan.

"Kerana itu, saya memberi masa kepada diri saya untuk mencari calon isteri yang sesuai dalam jangka masa dua bulan dan jika tidak, ibu saya pula yang akan tolong carikan. Saya percaya, pilihan ibu adalah yang terbaik kerana rumah tangga saya nanti akan direstuinya," katanya.

Tambah Iqram, dia bukanlah seorang lelaki yang terlalu mementingkan soal kecantikan seseorang wanita untuk dijadikan sebagai calon isteri kerana baginya, seorang wanita itu dinilai daripada hati dan bukannya aspek luaran semata-mata.

"Jika masih lagi belum ada calon yang sesuai, saya terpaksa memberi ruang masa sehingga umur 32 tahun untuk berkahwin," nekadnya.

Keputusan itu dibuat berikutan kekecewaannya mengenai cinta yang dipendam terhadap pelakon Fouziah Gous selama ini yang tidak berbalas.

"Saya akui bahawa selama ini kami agak rapat dan berkawan baik. Pada masa yang sama, saya juga menaruh hati kepadanya.

"Tapi nak buat macam mana, mungkin kami hanya ditakdirkan sebagai teman rapat sahaja," tuturnya.

Sementara itu, kisah Iqram dengan Fouziah itu dikatakan lebih kurang sama dengan drama yang dibintanginya bersama pelakon Fasha Sandha berjudul “Dewa Cinta” yang akan ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot Akasia, TV3.

Drama yang penuh konflik itu menampilkan penderitaan pasangan yang bercinta tetapi tidak dapat bersatu kerana masalah lain.

"Drama ini ada sedikit persamaan dengan kehidupan realiti saya menagih cinta yang tidak kesampaian, kebetulan pula saya dapat tawaran lakonan ini.

"Bagaimanapun watak saya sebagai Iqbal dalam cerita ini tidaklah sepenuhnya tentang diri saya sebenar," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain