suria

Sharifah Shahora Tidak Cari Kepuasan Untuk Berlakon

Shahora sudah melakonkan lebih 200 drama.
Shahora sudah melakonkan lebih 200 drama.
Shahora sudah melakonkan lebih 200 drama.

KUALA LUMPUR: Setelah bergelumang dengan dunia seni lakonan sejak tahun 1996, pelakon Sharifah Shahora Syed Akil (Shahora), 36, akui sudah tiada lagi istilah berlakon untuk mencari kepuasan.

Bukan bermakna dia telah puas dengan setiap watak yang dilakonkan sebaliknya wanita ini sudah melakonkan pelbagai watak termasuk menjadi wanita kurang siuman sehingga dia tidak tahu lagi watak apakah yang dia ingini.

“Saya sudah melakonkan lebih 200 drama. Jadi, saya tidak lagi memikirkan tentang tawaran asalkan saya selesa bekerja dengan sesebuah produksi itu.

“Setakat ini, saya selesa bekerja dengan pengarah dan penerbit Michael Ang. Jadi, tawaran lakonan saya tidak pernah putus disebabkan dia akan memilih saya untuk berlakon beberapa buah drama dan telefilem sekali gus di bawah arahan atau terbitannya,” jelasnya yang lebih memikirkan cara untuk bertahan dalam industri ini.

Disebabkan itu, dia akui banyak melakonkan drama dan telefilem yang disiarkan di Astro berbanding stesen televisyen lain.

Pada bulan Ramadan ini, Shahora akan muncul di Astro Prima (saluran 105) dengan telefilem berjudul Pintu Sakaratul Maut pada 14 Ogos, pukul 10 malam.

Selain itu, dia turut membintangi drama Geisha, Prebet Jamilah musim kedua dan Pontianak Beraya Di Kampung Batu yang turut disiarkan di bawah Astro.

Dalam masa yang sama, pelakon filem Bilut dan Pasrah ini menerokai perniagaan pakaian dalam wanita dengan membuka sebuah butik Fiedra Shahora Shop di tingkat bawah Axis Atrium, Ampang sejak dua bulan lalu.

Katanya, dia sengaja memilih perniagaan tersebut kerana jarang kali peniaga yang memikirkan untuk menjual pakaian dalam.

“Saya membuat perniagaan ini menggunakan modal secara kecil-kecilan dengan bantuan suami saya, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

“Kami mendapatkan bekalan pakaian dalam dari pelbagai tempat di dalam negara dan luar negara seperti China,” katanya yang meletakkan nama Fiedra sempena nama anaknya yang kini berusia dua tahun tujuh bulan.

Sepanjang butik itu beroperasi, katanya ramai pengunjung termasuk rakan artis yang datang membeli pakaian dalam di situ. Butik itu dijangka akan dilancarkan pada suatu tarikh mengikut kelapangan masa suaminya.

Hakikatnya walaupun Fiedra bukan merupakan anak sendiri, Shahora dan suami masih berusaha untuk mendambakan cahaya mata lagi cuma belum mempunyai rezeki.

“Kami sibuk dengan urusan masing-masing dan jarang berjumpa. Sekarang ini, saya di Kuala Lumpur menguruskan perniagaan dan lakonan manakala suami pula sibuk menjalani penggambaran filem “Rock 2” di Perak selama sebulan.

“Tetapi kadangkala suami ada juga berulang-alik jika mempunyai masa lapang. Walaupun jarang berjumpa, kami tetap bahagia,” katanya dalam nada bergurau.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 26 November 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain