suria

Deejay Ramsey Juara Astro Hitz Spin Master 2

DJ Ramsey
DJ Ramsey
DJ Ramsey

PETALING JAYA: Selepas hampir dua bulan bertarung, akhirnya juara Astro Hitz Spin Master 2 dimenangi oleh deejay Ramsey Matthew Westwood di kelab Zouk Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Kemenangan itu membuatkan Ramsey menerima hadiah berupa perbelanjaan yang ditanggung sepenuhnya ke London dan akan membuat persembahan di sebuah kelab yang dikenali Ministry of Sound London.

"Sebenarnya saya terkejut apabila mendapati saya mampu memenangi pertandingan ini kerana saingan terdekat saya iaitu deejay Ben Cracko juga berbakat.

"Lebih-lebih lagi perbezaan markah kami kurang satu sahaja dalam mengejar gelaran juara itu. Apa-apa pun, saya bersyukur dengan kemenangan dan kepercayaan yang diberikan oleh juri pertandingan ini, Blink, Goldfish dan Gabrielle," kata Ramsey selepas keputusan pemenang diumumkan.

Persembahan yang akan diadakan di kelab tersebut nanti merupakan satu peluang yang bagus buat Ramsey di mana bakatnya akan ditonjolkan di kalangan penggiat muzik Hollywood.

Malah kata deejay profesional di Ministry of Sound London, Gavyn Mytchel, persembahan yang akan dilakukan di kelab terkemuka itu nanti juga merupakan satu platform bagi mereka untuk mengembangkan bakat mereka di luar negara.

Pada malam pertandingan itu, Ramsey bukan sahaja berkemahiran dalam mengendalikan “turntable” sebaliknya dia mempunyai pakej lengkap yang mampu menarik perhatian ramai yang turut serta menari mengikut rentak muzik yang dimainkan olehnya.

Sementara itu pengurus Saluran Astro Hitz, Cheong Cheng Vei berkata Astro Hitz Spin Master 2 merupakan musim yang terbaik kerana menerima banyak bakat-bakat deejay yang hebat dan saingannya juga agak sengit.

"Tahun ini, kami menerima peserta-peserta yang sangat berbakat dan kegagalan mereka tidak bermakna mereka tidak bagus. Saya percaya peluang menyertai pertandingan ini memberi satu pengalaman buat mereka," ujarnya.

Selain itu, pengacara Joey G bertindak sebagai pengacara sepanjang pertandingan Astro Hitz Spin Master 2 itu berlangsung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain